PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima laporan berkaitan sekumpulan penuntut-penuntut yang mendakwa sebagai pewaris Kesultanan Sulu.
Laporan dibuat susulan tuntutan oleh penuntut-penuntut tersebut melalui notis timbang tara yang diserahkan kepada kerajaan Malaysia pada 30 Julai 2019.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, anggaran tuntutan yang dibuat adalah melebihi AS$32 bilion (RM147.728 bilion).
“Laporan tersebut dibuat oleh Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).
“Tuntutan tersebut adalah merupakan satu ancaman kepada keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, susulan laporan polis tersebut, kertas siasatan di bawah Seksyen 124 (K) Kanun Keseksaan iaitu Sabotaj telah dibuka melalui Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Terdahulu, tuntutan dikemukakan kumpulan Sulu adalah susulan tindakan Kerajaan Malaysia menghentikan serahan wang ihsan berikutan kes pencerobohan Tentera Kesultanan Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah, pada 12 Februari 2013.
Firma guaman mewakili warga Filipina mengaku waris Sultan Sulu, memohon rundingan semula bayaran wang ihsan bawah Perjanjian 1878 dan memfailkan permohonan Superior Court of Justice di Madrid (Mahkamah Madrid) untuk melantik penimbang tara pada 31 Januari 2018, dan memutuskan Dr Gonzalo Stampa dilantik pada 22 Mei 2019.
Pada 30 Julai 2019, satu Notis Timbang Tara diserahkan kepada Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar dengan anggaran tuntutan melebihi AS$32 bilion.
Mahkamah Tinggi Sabah pada 14 Januari 2020 memutuskan Perjanjian 1878 tidak mengandungi apa-apa peruntukan timbang tara, Malaysia tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatannya, dan penimbang tara tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyelesaikan perkara yang dibangkitkan. – KOSMO! ONLINE