fbpx

Taufan Mawar semakin menjauhi rantau negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan Taufan Mawar kini dilihat semakin menjauhi rantau negara kita dengan pergerakan ke arah utara Timur Laut dengan kelajuan sebanyak 8 kilometer per jam.

MetMalaysia dalam laporan cuacanya berkata, dengan kehadiran Taufan Mawar ini, sedikit sebanyak memberi kesan ke atas corak cuaca dan juga kelajuan angin sepanjang minggu ini terutama di kawasan perairan Malaysia.

“Sehubungan dengan itu katanya, MetMalaysia telah mengemas kini amaran angin kencang dan juga laut bergelora kategori pertama dan juga kedua bagi kawasan Samui, Condore, Labuan, Reef North, Palawan, Sulu, Layang-layang dan Phuket.

“Amaran berkuat kuasa sehingga 4 Jun nanti, berikutan ketinggian ombak dilihat boleh mencecah sehingga ke 4.5 meter terutamanya di kawasan kategori kedua, ia berbahaya bagi sebarang aktiviti melibatkan perkapalan, bot-bot kecil, sukan dan juga rekreasi laut,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, paparan imej gema radar bagi tinjauan cuaca semasa pula mendapati keadaan hujan serta ribut petir sedang berlaku di satu dua tempat melibatkan persisir pantai negeri Kedah dan juga tidak lama lagi boleh memasuki satu dua tempat di Pulau Pinang.

“Keadaan hujan ini dijangkakan beransur reda dalam tempoh masa satu hingga dua jam sahaja lagi.

“Sementara itu, di negeri Sabah dan Sarawak pula keadaan lembap dilihat lebih tertumpu di barat negeri Sarawak dan sedang bergerak ke arah tengah dan juga pedalaman negeri itu,” ujarnya.

Katanya, dijangkakan keadaan hujan itu boleh berlarutan sehingga ke lewat pagi nanti.

“Di negeri Sabah pula, keadaan hujan dilihat hanya dicerap di bahagian Sandakan dan dijangkakan akan beransur reda dalam tempoh masa satu hingga dua jam lagi.

“Bagi sebelah petang nanti pula, MetMalaysia masih menjangkakan keadaan hujan dan ribut petir berpotensi untuk berlaku terutamanya melibatkan bahagian utara semenanjung Malaysia iaitu lebih tertumpu di negeri Perak, Kedah dan Kelantan,” katanya.

Manakala di Sabah pada petang ini pula, keadaan hujan akan tertumpu di bahagian timur dan juga pedalaman.

“Sementara di negeri Sarawak, keadaan hujan dijangkakan lebih tertumpu di bahagian tengah dan juga pedalaman negeri terbabit,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI