fbpx

STL: Penang Black Panthers enggan hampakan penyokong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA pemain Penang Black Panther (jersi biru) perlu memanfaatkan aksi di laman sendiri untuk terus menguasai saingan STL musim ini.

Oleh ISWAN SHAFIQ ISA

BERAKSI selaku rumah untuk saingan minggu kedua kejohanan Liga Sepak Takraw (STL) 2023 Emas Anuar 2023 bermula Jumaat ini pastinya memberikan kelebihan buat Penang Black Panthers.

Apatah lagi pasukan Harimau Kumbang itu ketika ini kini sedang memimpin carta Divisyen Premier itu selepas mengharungi dua perlawanan pada saingan minggu pertama di Kuala Kangsar, Perak yang melabuhkan tirainya, kelmarin.

Hakikat itu diakui sendiri oleh pengurus pasukan, Mohd. Shaherman Shafie yang menyifatkan peluang menjadi selaku tuan rumah harus dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Penang Black Panthers jika ingin terus melakar kejayaan musim ini.

Justeru katanya, persediaan rapi kini sedang giat dijalankan termasuk bagi memantapkan kekuatan mental dan pertahanan pemain-pemain.

“Kami menjangkakan kira-kira 8,000 peminat sepak takraw akan hadir ke Spice Arena (Bayan Lepas) untuk menyaksikan perlawanan selepas ini (saingan minggu kedua STL Emas Anuar 2023. 

“Ini (kehadiran penyokong yang ramai) akan menjadi pembakar semangat kepada pemain bagi menghadapi pihak lawan yang mana rata-ratanya (diperkuatkan dengan pemain yang) pernah berkhidmat untuk skuad (takraw) negara. 

“Dalam hal ini, kita memandang serius akan kelebihan dan kehebatan pihak lawan yang turut sama berentap untuk merebut kejuaraan pada saingan kali ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini.

Untuk rekod, selain Penang Black Panthers, kejohanan STL 2023 kali ini turut disertai oleh sembilan pasukan lain termasuk juara bertahan, ATM Guardians serta pendatang ‘baharu’, KPT-Masum Knights.

Tujuh lagi pasukan yang turut berentap adalah Perak Bison, Bomba Fighters, Johor Tigris, Sabah Mountaineers, Negeri Sembilan Antlers, Melaka Titans dan Kuala Lumpur Thunders.

Dalam pada itu, Mohd. Shaherman memberitahu, ketiadaan pemain import, Aekasit Naphom yang terpaksa pulang ke Thailand tidak akan merencatkan perancangan Penang Black Panthers buat masa ini kerana tempatnya boleh diisi oleh dua lagi apit kanan berkaliber iaitu Azlan Alias dan Mohamad Haikal Jamil.

Bagaimanapun katanya, pengurusan pasukan masih cuba untuk berunding dengan majikan Aekasit bagi membolehkan pemain itu diberikan pelepasan untuk bersama Penang Black Panthers selepas ini.

“Apapun, sasaran kami pada edisi kali ini masih sama iaitu sekurang-kurangnya untuk layak ke Champion Cup (Piala Juara-Juara),” tambah beliau. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI