JOHOR BAHRU – Pemenang 10 pertandingan ratu cantik berdepan gangguan seksual daripada lebih 200 lelaki warganegara Bangladesh selepas namanya diburuk-burukkan seorang kenalan di media sosial, sejak 17 Mei lalu.
Mangsa, Lee Guan Yoke, 41, berkata, dia mengalami gangguan emosi ekoran gangguan diterima sehingga pernah terfikir untuk membunuh diri.
Katanya, selain mesej dan panggilan telefon, gangguan itu turut diterima melalui pelbagai platform media sosial miliknya.
“Saya hanya tahu dijadikan satu bahan gurauan seksual oleh seorang kenalan yang pernah berjumpa dua kali apabila secara tiba-tiba saya menerima ratusan mesej dan panggilan telefon.
“Kesemuanya daripada lelaki Bangladesh dengan kata-kata lucah dan sindiran. Perkara ini mengganggu emosi saya kerana menjejaskan nama baik saya dan juga keluarga.
“Ia juga menganggu kerjaya dan kehidupan peribadi saya, di mana saya merupakan ibu tunggal yang menjaga tiga orang anak kecil yang masih bersekolah,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat MCA Johor, di sini hari ini.
Guan Yoke yang juga bekerja sebagai seorang pemandu pelancong itu berkata, sejak 17 Mei lalu dia menerima mesej gangguan itu selain mengesan satu rakaman video secara langsung di Facebook dibuat seorang lelaki bernama Lee Fook Soon yang seolah-olah menjual diri saya kepada sekumpulan lelaki Bangladesh.
Susulan itu, Guan Yoke telah membuat dua laporan polis berhubung gangguan tersebut, masing-masing satu laporan di Balai Polis Taman Universiti dan Balai Polis Ulu Tiram, pada 18 dan 21 Mei lalu.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Biro Pengaduan Awam MCA Johor, Joan Ng Geok Yin memberitahu, pihaknya akan merujuk kes tersebut kepada agensi berkaitan agar dapat membela kesejahteraan mangsa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak mengesahkan pihaknya telah menerima laporan polis berhubung kejadian berkenaan. – KOSMO! ONLINE