KUALA LUMPUR – Tindakan sebuah premis di Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara, di sini memelihara kambing, itik serta ayam menyebabkan bau busuk terbongkar apabila diserbu pihak berkuasa, petang tadi.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan berkata, operasi tersebut diadakan susulan aduan orang ramai kerana premis terbabit memelihara kambing di dalamnya.
Jelas kenyataan itu, siasatan mendapati kejadian itu benar berlaku dan dipanjangkan ke Unit Kawalan Pest.
“Hasil lawatan dan pemeriksaan mendapati, tiada lagi kambing di premis tersebut.
“Bagaimanapun, terdapat ayam dan itik hidup di premis berkenaan sehungga menimbulkan kacau ganggu bau busuk,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah kenyataan itu, adalah menjadi kesalahan memelihara haiwan hidup di dalam premis di bawah Akta Kerajaan Tempatan kerana boleh menyebabkan kacau ganggu.
“Sehubungan itu, satu notis Akta Kerajaan Tempatan di bawah Seksyen 82 dikeluarkan kepada pemilik atau wakil premis berkuat kuasa serta-merta.
“Ops Sitaan yang dilaksanakan turut melibatkan 10 ekor ayam dan tujuh ekor itik.
Tegas kenyataan itu, pemilik atau wakil diberi tempoh empat hari untuk menuntut haiwan sitaan di Unit Kawalan Pest, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL.-KOSMO! ONLINE.