PAKAN – Persiapan penduduk Rh. Selunsin, Ulu Wak di sini untuk menyambut perayaan Hari Gawai musnah apabila rumah panjang dua tingkat yang didiami mereka musnah terbakar, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira pukul 10.36 pagi dan segera menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor dan BBP Sarikei ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi mendapati ruang hadapan (ruai dan bilik tidur tingkat atas) rumah panjang terbabit terbakar 100 peratus manakala bahagian belakang (ruang tengah dan dapur) berjaya diselamatkan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, rumah panjang terbabit mempunyai 15 pintu.
Menjelas lanjut, beliau berkata, pasukan bomba melakukan pemadaman menggunakan sumber air dari kolam berhampiran rumah panjang berkenaan dan api berjaya dikawal pada pukul 11.35 pagi.
Katanya, kesemua penghuni berjaya menyelamatkan diri dan kerja-kerja ‘overhaul’ dijalankan di lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE