PETALING JAYA – Pengajian Melayu perlu diangkat sebagai bidang dan disiplin ilmu yang lebih strategik dengan melakukan rombakan terhadap struktur pengajian tersebut.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, seruan itu dibuat agar berlaku lonjakan baharu dalam pengajian Melayu dengan tidak hanya kepada penilaian orang Melayu tetapi terhadap pandangan orang bukan Melayu.
“Kita rombak struktur yang ada dengan membawa masuk pelbagai cendekiawan terbaik bangsa, menyemak kembali kurikulum dan melatih bakat terbaik untuk menjadikan disiplin pengajian ini, bidang yang penting kepada dan strategik kepada negara.
“Kita perlu jadikan Pengajian Melayu setara dengan bidang pengajian Middle Eastern (Timur Tengah) atau Chinese Studies (Pengajian Cina),” katanya dalam Syarahan Za’ba yang bertajuk ‘Pemerkasaan Pengajian Melayu Untuk Pembinaan Negara dan Pengisian Tuntutan Globalisasi’ di Akademi Pengajian Melayu (APM) Universiti Malaya (UM) hari ini.
Tambah beliau, pengajian Melayu perlu dilengkapkan dengan rangkaian sumbangan yang jelas dan terlihat kepada bangsa dan negara memandangkan masyarakat kini berada pada zaman yang sarat dengan cabaran.
Katanya, masyarakat berada dalam zaman dengan pelbagai persimpangan yang menuntut semua pihak membuat keputusan yang bukan sahaja betul tetapi radikal, kritikal dan strategik.
“Saya tidak teragak-agak untuk menyatakan bahawa hari ini sudah tidak ramai pemikir Melayu, bijak pandai Melayu dan pemimpin Melayu mengutarakan idea-idea dan pemikiran besar kepada bangsa.
“Dalam usaha mengangkat pengajian Melayu, kita juga perlulah mendekati pihak meletakkan kepentingan pengajian Melayu sebagai rukun perjuangan sama parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), gerakan massa dan sesiapa sahaja,” katanya. – KOSMO! ONLINE