PETALING JAYA – Tular satu foto di media sosial ketika ini berkenaan hadiah yang diberikan kepada pemain terbaik kejohanan Piala FA di Timor Laste.
Menerusi Facebook Asean Football, pemain tersebut didakwa sebagai pemain yang dianugarahkan sebagai pemain terbaik kejohanan Piala FA negara tersebut.
Menerusi hantaran itu, pemain itu juga dikatakan sebagai pemain bola sepak bagi pasukan Kebangsaan Timor Laste hanya diberikan hadiah ‘hamper’.
Melihat lebih terperinci, hamper tersebut hanya diisi dengan biskut serta makanan ringan seperti hadiah yang diberikan kepada murid-murid ketika kejohanan sukan sekolah rendah.
Difahamkan hadiah tersebut adalah dikhaskan kepada pemain tersebut bagi kejohanan Piala FA Timor Laste 2020.
Namun, apa yang menarik apabila tinjauan di ruangan komen mendapati orang ramai tetap memberi semangat dan faham dengan keadaan negara terbabit.
“Kita tidak perlu nak gelakkan mereka, kita tahu negara tersebut sedang dalam pembinaan. Kita sebagai orang Asia perlu sokong saudara kita,” tulis seorang pengguna media sosial.
“Tidak mengapa, kesungguhan yang ada dari negara mereka walaupun banyak kekangan. Yang penting rasuah jangan dimulakan,” kata Denial Pritcawa. – KOSMO! ONLINE.