fbpx

Mahkamah: Keputusan hadanah interim dua anak Diana – Farid 8 Ogos ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Farid Kamil, Diana Danielle dan dua anak mereka.

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 8 Ogos ini bagi keputusan inter-parte (kedua-dua pihak) pelakon Diana Danielle dan suaminya Farid Kamil berhubung hadanah interim (hak penjagaan sementara) dua anak mereka.

Dua anak itu ialah Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8, yang mana kedua-duanya adalah hasil perkahwinan pasangan itu pada tahun 2012.

Hakim Syarie Zulfikri Yasoa menetapkan tarikh itu selepas kedua-dua pihak memaklumkan akan memfailkan dokumen hujahan berkaitan kes secara serentak.

“Mahkamah menetapkan 30 Jun ini bagi kedua-dua pihak memfailkan hujahan sebelum keputusan kes ditetapkan pada 8 Ogos ini,” kata hakim syarie itu.

Terdahulu semasa prosiding, peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Farid selaku responden memaklumkan pihaknya akan memfailkan afidavit tambahan.

Dalam pada itu peguam syarie Puteri Ummi Kartini Abd. Latiff yang mewakili Diana selaku pemohon turut memaklumkan pihaknya juga telah memfailkan segala afidavit secara teratur.

Semasa prosiding, berhubung dengan hadanah interim yang akan tamat pada hari ini, Puteri Ummi memohon supaya mahkamah melanjutkan perintah itu sehingga tarikh keputusan.

Justeru mahkamah kemudian membenarkan permohonan pemohon untuk hadanah interim kepada Diana dilanjutkan sehingga tarikh 8 Ogos ini.

Sejurus selepas prosiding, Puteri Ummi ketika ditanya mengenai afidavit tambahan yang dikemukakan Farid, peguam syarie itu berkata antaranya melibatkan resit dan perbelanjaan.

“Bagaimanapun maklumat lengkap mengenai isu tersebut tidak boleh didedahkan secara terperinci,” katanya.

Pada 24 Mac lalu, Diana telah memperoleh hadanah interim dua anaknya oleh Mahkamah Tinggi sama.

Sebelum ini, Farid dalam prosiding terdahulu, mendakwa dirinya tidak dapat memasuki rumah yang diduduki bersama isterinya, sejak awal bulan ini.

Pada tempoh sama, difahamkan Farid juga tidak dapat bertemu dengan anak-anaknya.

Hari ini, Mahkamah Rendah Syariah Petaling di sini menetapkan bagi Farid dan Diana memaklumkan kepada mahkamah laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes cerai pasangan itu. Prosiding itu akan berlangsung petang ini.

Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 32, telah melantik pengurus bagi mewakili dirinya manakala Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 42, pula melantik kakaknya.

Dalam pemohonan cerai itu, Diana sebelum ini, mendakwa tiada persefahaman, berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan) selain tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri antara alasannya untuk bercerai pelakon Diana dalam suaminya.

Permohonan cerai tersebut difailkan Diana atau nama sebenarnya Diana pada 10 Mac lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI