fbpx

Mahkamah: JKP gagal, Farid tetap enggan lafaz cerai terhadap Diana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Farid (kiri), Diana

SHAH ALAM – Meskipun laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) menyatakan gagal menemui pendamaian, pelakon Farid Kamil tetap dengan pendirian enggan melafazkan cerai terhadap isterinya Diana Danielle di Mahkamah Rendah Syariah Petaling hari ini.

Farid menyatakan demikian selepas ditanya Hakim Syarie Shukran Yusof sama ada dia selaku defendan itu bersedia melafazkan cerai atau tidak.

Hakim Syarie: Selepas membaca laporan JKP mahkamah mendapati shiqaq (perbalahan yang berpanjangan), masih berlaku saya nasihat encik (Farid) supaya melafazkan talak, kamu bersedia atau kamu tidak bersedia?

Farid: Saya tidak setuju untuk lafaz talak.

Hakim Syarie: Oleh kerana dalam keadaan defendan tidak bersetuju, mahkamah dengan ini memerintahkan kes cerai diteruskan dengan timbang tara (hakam).

Justeru mahkamah kemudian menetapkan kes ini diteruskan ke peringkat seterusnya iaitu hakam keluarga dan menetapkan 15 Jun ini sebutan kes dan lantikan hakam.

Pada tarikh sama mahkamah juga menetapkan sebutan kes permohonan nusyuz yang dibuat Farid terhadap Diana.

Hakam dikenali sebagai arbitrasi atau timbang tara iaitu satu proses dimana pihak-pihak yang bertikai melantik seseorang bagi menyelesaikan pertikaian yang timbul di antara pihak-pihak berlandaskan hukum syarak.

Terdahulu semasa prosiding ketika membacakan laporan JKP itu hakim syarie tersebut menyatakan pasangan itu gagal menemui pendamaian.

Ini kerana laporan itu menyatakan Diana selaku plaintif nekad untuk bercerai kerana mendakwa sudah tiada persefahaman manakala Farid tetap dengan pendirian enggan berpisah kerana masih menyayangi keluarga.

Sebelum ini, Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 32, telah melantik rakan baik bagi mewakili dirinya manakala Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 42, pula melantik sepupunya bagi proses JKP itu.

Dalam proses perceraian, JKP terdiri daripada anggota keluarga yang rapat dengan pasangan terbabit akan memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian.

Sekiranya JKP tidak dapat menemui jalan penyelesaian atau mendapati bahawa telah berlaku shiqaq, maka Mahkamah Syariah akan melantik hakam yang akan memberikan kata putus bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga pasangan terlibat.

Semasa prosiding hari ini, Farid diwakili peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan manakala Diana diwakili peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader.

Pada prosiding lalu, hakim syarie sama telah menasihatkan Farid dan Diana untuk berdamai bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka.

Diana sebelum ini, mendakwa tiada persefahaman, berlaku shiqaq selain tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri antara alasannya untuk bercerai pelakon Diana dalam suaminya.

Permohonan cerai tersebut difailkan Diana atau nama sebenarnya Diana pada 10 Mac lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Untuk rekod Farid dan Diana berkahwin pada 2012 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua orang cahaya mata bernama Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8,.

Terdahulu pada prosiding pagi, Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 8 Ogos ini bagi keputusan inter-parte (kedua-dua pihak) Diana Danielle dan suaminya Farid berhubung hadanah interim (hak penjagaan sementara) dua anak mereka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI