PUTRAJAYA – Kerajaan mewujudkan jawatankuasa peringkat tertinggi (HLC) bagi menerajui Pembangunan Bakat Sukan Berprestasi Tinggi yang bertujuan untuk mereformasi sukan.
Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu akan memberi tumpuan kepada model pembangunan bakat bagi sukan tempur, olahraga dan renang.
Menurut beliau, selain Kementerian Belia dan Sukan (KBS), HLC akan turut disertai oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam memastikan negara tidak ketinggalan dan seiring dengan negara-negara yang mempunyai pembangunan sukan yang maju.
“HLC ini merupakan komitmen pelbagai kementerian untuk mereformasikan sukan dengan memberi lebih tumpuan kepada model pembangunan bakat bagi sukan tempur, olah raga dan renang,” katanya menerusi sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, jawatankuasa tersebut juga akan melihat kepada mencungkil bakat di kalangan anggota tentera dan penguatkuasa melalui Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.
Di samping itu, katanya, mesyuarat JKPS turut bersetuju untuk mempelawa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk membiayai program-program sukan bertujuan memangkin pembangunan sukan melalui penglibatan pelbagai pemegang taruh.
“Kerajaan juga amat peka dengan kos dan bil kesihatan penjawat awam yang semakin meningkat, justeru, kerajaan akan menawarkan langkah preventif iaitu semua kementerian perlu memperuntukkan waktu untuk kakitangan kerajaan melaksanakan aktiviti sukan dan riadah setiap minggu,” katanya.
Tambahnya, melalui mesyuarat JKPS, isu-isu berkaitan sukan dapat dibincangkan secara aktif dan berkesan serta dapat diperluas untuk melibatkan semua agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan ke arah memperkasakan pembangunan sukan secara inklusif. – KOSMO! ONLINE