PETALING JAYA – Tindakan individu tidak bertanggungjawab yang meletakkan kenderaan di tepi jalan sekitar Transit Aliran Massa (MRT) Cyberjaya Utara membawa padah setelah kereta mereka ‘disagat’ kenderaan lain.
Menerusi ciapan tular di Twitter itu, beberapa buah kereta yang diparkir di tepi jalan laluan masuk ke MRT berkenaan rosak teruk dipercayai dilanggar kenderaan berat.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan pemilik kenderaan berkenaan.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna mempersoalkan tindakan pemilik kereta yang meletakkan kenderaan di tepi jalan bukan di kawasan parkir.
Menurut mereka, stesen tersebut ada menyediakan parkir berbayar serendah RM4 sehari, khas untuk pengguna MRT.
“Parking pun tidak ketepi, betul-betul duduk tengah-tengah jalan. Apa yang nak ‘expect’? Kereta dah kena ‘sagat’, hadap je la. Salah sendiri juga,” komen seorang pengguna Twitter.
“Naik pengangkutan awam pun kena bawa kereta ke stesen. Sepatutnya naik pengangkutan awam kita rasa tenang, tapi kena fikir tentang parking pula.
“Tidak menyalahkan pemilik kereta atau pemandu yang sagat kereta tepi jalan 100 peratus, tapi kecewa dengan perancang pengangkutan awam dan bandar,” komen pengguna Twitter lainnya.
Tidak ketinggalan, ada juga yang mencadangkan beberapa solusi untuk menangani masalah ini.
“Parkirlah di MRT Purtajaya Sentral. Di sana, ada 1,407 tempat parkir. Kalau parkir secara haram, insurans tidak akan cover sebarang kerosakan,” cadang seorang pengguna Twitter.
Sebelum ini, kejadian yang hampir sama berlaku di MRT Cyberjaya City Centre di mana kereta yang diparkir tepi jalan telah menghalang laluan bas hingga menganggu jadual perjalanan. – KOSMO! ONLINE