fbpx

Gaya vintaj Zendaya di karpet merah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zendaya diangkat sebagai selebriti paling bergaya pada tahun lalu.

KEHIDUPAN sebagai seorang selebriti menjadikan seseorang itu tidak pernah terlepas daripada bidikan lensa kamera yang merakam gaya atau penampilan mereka, khususnya apabila menghadiri acara karpet merah.

Menurut carian Google sepanjang tahun lalu, gaya karpet merah oleh pelakon kelahiran Amerika Syarikat, Zendaya merupakan yang paling banyak dicari di laman tersebut, menjadikan Zendaya sebagai selebriti paling bergaya pada 2022.

Majalah Harper’s Bazaar pada April lalu juga menulis bahawa gaya pelakon bertubuh kurus itu merupakan antara gaya yang paling dinanti-nantikan majalah tersebut sejak kebelakangan ini, memandangkan dia disifatkan sebagai cukup bijak mencuri tumpuan dengan menggayakan dres vintaj yang memukau.

Menurut pengarah fesyen dan juga pengasas bersama syarikat jualan barangan fesyen mewah, Vestiaire Collective, Sophie Hersan, gaya vintaj kini diibaratkan sebagai satu gaya hidup.

“Penggayaan dres vintaj di acara karpet merah memberikan mesej bahawa gaya vintaj kini bukan sahaja satu trend, tetapi juga sebenarnya adalah satu gaya hidup.

“Pada pendapat saya, bagi dekad ini, kita akan melihat perkembangan gaya vintaj yang lebih besar.

“Gaya tersebut membolehkan golongan selebriti ini untuk bergaya glamor dan meraikan rekaan masa lalu yang cantik, namun dalam masa yang sama turut menyokong fesyen lestari,” katanya.

Antara gaya vitaj Zendaya yang paling diminati adalah sepasang dres labuh rona hitam dan hijau yang dipakainya dalam acara anugerah National Association for the Advancement of Colored People (NAACP) 2023.

Pakaian yang digayakan Zendaya turut menyerlahkan seri wajahnya di karpet merah.

Dres tanpa lengan dengan bahagian hadapannya terbelah itu merupakan koleksi vintaj daripada jenama fesyen Versace.

Rona hijau terang itu juga menjadikan pelakon berkulit gelap itu tampak elegan dan mewah.

Bagi acara Met Gala 2022 pula, gaya Zendaya antara yang paling mencuri tumpuan apabila dia hadir dalam persalinan vintaj oleh pereka fesyen Bob Mackie.

Dres tanpa tali berpotongan labuh dalam gabungan rona hitam dan biru firus cukup elegan dan menaikkan lagi seri wajah Zendaya.

Gaya rambut belah tengah bersama penggayaan aksesori minimalis juga menyerlahkan gaya vintaj yang ditampilkan.

Tahun lalu, pelakon drama bersiri Euphoria itu turut tampil dengan gaya vintaj dalam sepasang gaun malam rona hitam putih daripada label Valentino yang cukup ikonik.

Biarpun gaun tersebut mempunyai potongan ringkas dengan jalur monokrom, ia tetap memukau dan berjaya menyerlahkan sisi elegan pelakon itu.

Elemen vintaj pada gaya itu juga diterjemahkan menerusi gaya rambut Zendaya yang disanggul kemas.

Lehernya pula polos tanpa sebarang rantai sarat dan aksesori pilihannya bagi gaya tersebut pula adalah sepasang anting-anting berlian dengan rekaan ringkas dan vintaj.

Gaun ikonik tersebut pertama kali diperagakan di pentas peragaan Valentino pada era 1990-an oleh model terkenal, Linda Evangelista.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI