fbpx

Farid Kamil kekal pendirian enggan lafaz cerai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FARID kekal dengan pendirian enggan melafazkan talak terhadap Diana kerana masih menyayangi wanita itu.

PETALING JAYA – Pelakon Farid Kamil kekal dengan pendirian, rumah tangganya bersama Diana Danielle masih dapat diselamatkan walaupun laporan Jawatankuasa Pendamaian (JKP) masih menemui jalan buntu hari ini.

Lebih menguatkan lagi firasatnya Diana sudah pun menerima lapan jenis barang kemas yang dihadiahkan sebelum ini melalui dua anaknya, Muhammad dan Aurora.

“Seperti semua sedia maklum, sekarang prosiding kami sudah sampai ke proses pelantikan hakam kerabat.

“Sejak awal sampai sekarang, apa yang saya cuba buat adalah mempertahankan perkahwinan dan keluarga saya.

“Saya sangat positif dan saya sentiasa berfikiran sebegitu kerana saya nampak masih ada harapan dan tanggungjawab serta masa depan. Sayang juga masih ada.

“Malah cincin yang saya berikan juga sudah diterima, iaitu lapan barang kemas. Barangan itu diterima sebanyak dua kali, iaitu satu melalui Muhammad dan satu lagi melalui Aurora,” katanya kepada Kosmo! Online selepas prosiding laporan JKP dan sebutan pertama nusyuz di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari di sini hari ini.

Dalam pada itu, pihaknya juga sudah melakukan usaha berbaik semula sebanyak lebih 10 kali, namun sentiasa terdapat halangan yang tidak sepatutnya.

“Insya-Allah masa itu akan tiba.

“Saya sayangkan isteri saya dan saya tak pernah sayangkan orang lain seperti saya sayangkan isteri saya. Kalau anda semua faham,” katanya lagi.

Hari ini, Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, menetapkan 15 Jun sebagai tarikh menetapkan prosiding hakam kerabat bagi pasangan terbabit.

Mahkamah juga memutuskan laporan JKP pasangan tersebut menemui jalan buntu susulan berlaku syiqaq (perbalahan) berpanjangan.

Farid juga hari ini enggan melafazkan talak seperti yang ditanya mahkamah kerana masih dengan pendirian ingin menyelamatkan rumah tangganya.

Pada 28 Mac lalu, Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shukran Yusof, menasihatkan Farid dan Diana berdamai bagi mengislahkan atau memperbaiki keadaan untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka.

Pada 10 Mac lalu, Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson memfailkan permohonan cerai.

Alasan yang diberikan pelakon filem Imaginur itu adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.

Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.

Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012. Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI