fbpx

F1: Isu strategi terus hantui Ferrari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAINZ sekadar menamatkan saingan di kedudukan kelapan pada GP Monaco ekoran beberapa isu strategi. – AFP

MONACO – Pelumba Ferrari, Carlos Sainz Jr. berang dengan strategi pasukan itu hingga me­ranapkan peluangnya untuk berada di podium buat kali ketiga berturut-turut pada Grand Prix (GP) Monaco kelmarin.

Sainz yang memulakan sai­ngan di baris kedua perlumbaan dilihat cuba mengejar pelumba pasukan Alpine, Esteban Ocon yang ketika itu berada di tempat ketiga.

Bagaimanapun, segalanya berubah apabila Sainz dipanggil untuk masuk ke hentian pit lebih awal kononnya untuk memanfaatkan peluang memintas dan menghalang Lewis Hamilton.

Namun, strategi tersebut tidak menjadi dan mendatangkan kemarahan Sainz apabila gagal mengatasi Ocon, sebelum akhirnya terjatuh ke kedudukan kelapan.

Pada ketika itu, Sainz merasakan jenteranya sangat baik dan menegaskan bahawa Ferrari seharusnya lebih bersabar kerana dia menggunakan komponen tayar lebih keras.

“Kami menjalani perlumbaan dengan cukup tekanan kerana terlalu mengejar dan sering berada di belakang Ocon. Pada ketika itu, saya menyimpan tayar dengan baik, tetapi pasukan memutuskan untuk memanggil saya masuk ke pit.

“Saya sangat kecewa terutama dua hentian pit yang bermasalah. Pada pit pertama, kami melakukannya terlalu lambat dan satu lagi terlalu awal memanggil ma­suk, tetapi itulah Monaco. Hari ini mungkin kami tidak melakukannya dengan baik,” ujarnya.

Max Verstappen terus berjaya menakluk Monaco selepas mengungguli perlumbaan dari awal hingga ke garisan penamat meskipun hujan turun pada pertengahan perlumbaan.

Meskipun pemandu Red Bull itu hampir terbabas Verstappen masih kekal melakar kemena­ngan sekali gus membolehkan dia terus mendahului kedudukan keseluruhan dengan 39 mata.

Pelumba Sepanyol, Fernando Alonso dari Aston Martin menamatkan saingan di tempat kedua tetapi ketinggalan 27.9 saat, manakala Ocon melengkapkan podium dengan menduduki tempat ketiga. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI