LIVERPOOL – Kejayaan Everton untuk terus kekal dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim depan sepatutnya menjadi isyarat dan amaran penting untuk mereka kembali mencari prestasi terbaik bagi menghadapi musim depan.
Kemenangan tipis 1-0 ke atas Bournemouth hasil jaringan Abdoulaye Doucoure menyaksikan Everton terus kekal beraksi dalam saingan utama untuk tempoh lebih 69 tahun.
Pengurus pasukan itu, Sean Dyche mengakui kemenangan itu tidak seharusnya disambut sebagai kejayaan, tetapi ia adalah amaran penting untuk mereka terus bekerja keras dan mengubah segera prestasi untuk musim depan.
“Ia bukanlah kegembiraan untuk saya kecuali hanya berjaya menyelesaikan tugas bersama kelab ini. Saya datang ke sini untuk mengubah mentaliti dan ia sudah nampak kesannya biarpun belum ada perubahan besar.
“Saya beritahu pemain bahawa kami sebenarnya tidak layak berada pada kedudukan ini (bergelut untuk kekal di EPL). Anda boleh menikmati kejayaan ini, tetapi perubahan mestilah dilakukan.
“Kami tidak boleh mendabik dada dengan apa yang diraih kali ini kerana ia tidak seperti itu. Banyak perkara yang perlu berubah, kerja yang perlu dilakukan dan satu langkah besar perlu diambil.
“Kerja-kerja untuk persiapan musim depan sudah dilakukan sebaik saya tiba di sini. Saya tidak fikir tugas itu adalah mudah,” jelasnya. – AGENSI