MANCHESTER – Pengendali Manchester United, Erik Ten Hag merayu pihak pengurusan tertinggi kelab itu untuk memberikan sokongan penuh kepadanya pada jendela perpindahan akan datang.
Beliau memberi amaran bahawa United tidak akan mampu memberikan cabaran yang lebih baik pada saingan musim depan terutama menyaingi para pencabar mereka sekiranya tidak bersedia untuk membuat pelaburan baharu.
Ten Hag telah membelanjakan sebanyak £220 juta (RM1.25 bilion) sebaik tiba di Old Trafford dari Ajax pada musim panas tahun lalu, namun beliau mengakui kelab itu tidak mengeluarkan dana yang cukup ketika perpindahan musim sejuk.
United berada di kedudukan ke-17 daripada 20 pasukan berdasarkan aspek perbelanjaan pada musim sejuk lalu apabila hanya membawa masuk Wout Weghorst, Marcel Sabitzer dan Jack Butland secara pinjaman.
Bagaimanapun, Ten Hag masih berjaya memacu pasukan itu untuk berada di kedudukan ketiga saingan Liga Perdana Inggeris sejurus kemenangan 2-1 ke atas Fulham kelmarin, berjaya meraih mata keseluruhan kedua tertinggi selepas era Sir Alex Ferguson serta menempah slot ke Liga Juara-Juara.
“Kelab tahu bahawa jika anda mahu berada di kelompok empat terbaik, mencabar kejuaaraan di liga yang cukup sukar ini, anda perlu membuat pelaburan atau anda perlu lupakan semua itu kerana para pesaing kami melakukannya.
“Lihat pada musim sejuk lalu. Semua kelab membuat pelaburan, tetapi kami tidak. Namun, kami masih boleh berbangga dengan apa yang telah kami capai ini.
“Kami sedang berada di landasan yang tepat, tetapi kami belum lagi sampai ke tempat yang sepatutnya kami berada. Perjalanan ini masih panjang dan keseluruhan pasukan ini memiliki potensi,” katanya. – AGENSI