KEMAMAN – Cuaca panas terik ketika ini memberi kelebihan kepada pengusaha ikan bilis untuk menghasilkan produk hasil laut tersebut dengan lebih berkualiti.
Zuria Zulkifli, 35, berkata, dia dan suaminya, Wan Mohd. Zuraydy Wan Nordin, 40, yang mewarisi perniagaan diusahakan keluarga mereka sejak 50 tahun lalu berkata, cuaca panas membolehkan proses pengeringan ikan bilis menjadi lebih singkat iaitu seawal enam jam berbanding lebih dua hari sebelum ini.
“Ikan bilis yang dihasilkan lebih berkualiti sebab ia mengering dengan sempurna dan tidak mudah patah dan tidak cepat rosak atau berbau hapak. Malah, ia lebih rangup apabila digoreng.
“Antara spesies ikan bilis yang mendapat permintaan tinggi ialah tembaga hitam, putih dan tembaga merah,” katanya ketika ditemui di Kampung Tengah, Kijal di sini semalam.
Zuria berkata, dia menjual ikan bilis tersebut pada harga antara RM25 dan RM28 sekilogram bergantung kepada kualiti.
Ibu kepada lima anak itu berkata, mereka mampu menghasilkan 100 kilogram (kg) ikan bilis sehari sepanjang musim panas ini.
“Biasanya kami cuma mampu proses 40 kg sehari pada musim biasa kerana waktu itu proses pengeringan hanya tiga jam sehari ekoran cuaca tidak menentu.
“Begitupun, pada cuaca panas sekarang, ikan bilis yang dijemur selepas direbus sebelah pagi akan kering dalam tempoh enam jam sahaja,” katanya.
Zuria memberitahu, proses menjemur di bawah cahaya matahari mampu menjadikan ikan bilis lebih tahan lama berbanding sekiranya dikeringkan secara moden dengan mesin pengering.
Sementara itu, Wan Mohd Zuraydy yang juga seorang nelayan menganggap cuaca panas sewaktu musim memukat ikan bilis sememangnya memberi rahmat buat keluarganya.
“Sekarang sudah bermula musim ikan bilis sehingga bulan September. Biasanya hasil tangkapan ikan bilis agak lumayan dan kadang kala kami boleh dapat lebih 100 kilogram sehari.
“Cuaca panas mudahkan kami untuk proses ikan bilis. Biasanya, saya akan keluar memukat selepas subuh dan pulang sekitar pukul 9 pagi sebelum keluar lagi untuk memukat ikan bilis pada tengah hari,” katanya.
Jelasnya, ada kebaikan musim panas terutama bagi nelayan ketika ini.