PARIT BUNTAR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kurau menahan sebuah bot nelayan tempatan jenis gentian kaca di kedudukan 5.2 batu nautika barat daya Pulau Kalumpang di sini sekitar pukul 4.10 petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd. Najhan Azman Hamid berkata, semasa rondaan rutin di perairan Kerian dan Larut Matang, pasukan bot perondanya telah mengesan bot itu dan ia dirapati untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat dua nelayan warga tempatan termasuk tekong masing-masing berumur 40 dan 47 tahun berada di bot.
“Pemeriksaan lanjut mendapati bot terbabit tidak memaparkan nombor pendaftaran dan tekong gagal mengemukakan lesen bot. Selain itu, sebanyak 1,725 mata rawai pari turut ditemui dan disyaki digunakan sebagai peralatan untuk menangkap ikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, kesemua nelayan, bot dan peralatan menangkap ikan telah ditahan serta dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 11 (3)(b) Akta Perikanan 1985 kerana memiliki peralatan menangkap ikan yang tidak dilesenkan dan Seksyen 8 (a) akta yang sama iaitu mengendalikan vesel tanpa lesen yang sah,” katanya. – KOSMO! ONLINE