MARANG – Seekor anak penyu karah jantan ditemukan mati terapung di perairan Pulau Kapas di sini semalam.
Sukarelawan Persatuan Pemuliharaan Penyu Pulau Kapas, Fildani Noor berkata, bangkai reptilia tersebut pada pukul 1.40 tengah hari.
“Anak penyu tersebut dipercayai baru sahaja mati kerana bangkainya masih elok dan belum mereput.
“Pemeriksaan awal terhadap bangkai itu mendapati bahagian lehernya membengkak manakala bahagian karapasnya pula hilang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Fildani berkata, pihaknya sangat sedih dengan kematian anak penyu karah tersebut kerana spesies tersebut jarang ditemui di perairan Pulau Kapas.
Beliau berkata, kali terakhir sukarelawannya terserempak dengan spesies penyu karah pada awal tahun ini.
“Sebelum itu, penyu karah pernah ditemui berenang berhampiran perairan Pulau Kapas pada tahun 2019.
“Kami sangat risau sekiranya bangkai ini adalah penyu sama yang pernah dijumpai sewaktu aktiviti snorkel pada awal tahun ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE