PETALING JAYA – Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) merekodkan untung bersih selepas cukai 18.3 peratus lebih tinggi berjumlah RM677.8 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (TK2023).
Hasil meningkat 2.8 peratus tahun ke tahun kepada RM1.92 bilion, ketika pendapatan faedah bersih meningkat 11.6 peratus kepada RM1.65 bilion berikutan jumlah pinjaman yang lebih tinggi dan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).
Pinjaman perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perbankan pengguna masing-masing meningkat sebanyak 13.1 peratus dan 5.2 peratus tahun ke tahun, menyumbang kepada pertumbuhan pinjaman keseluruhan lebih tinggi pada 6.2 peratus.
Pembiayaan berasaskan pelanggan meningkat 6.8 peratus dengan deposit tetap naik 18.6 peratus. Pendanaan Bank adalah sihat dengan nisbah akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) berada pada 41.9 peratus, antara yang tertinggi dalam industri.
Alliance Bank telah mencadangkan dividen interim kedua sebanyak 10 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen kepada 22 sen sesaham untuk jumlah nisbah pembayaran dividen 50 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam berkata, strategi pihaknya yang diperbaharui telah mula membuahkan hasil.
“Kami terus melabur sumber untuk memanfaatkan lapan peluang pertumbuhan (menerusi strategi Acceler8 yang dilancarkan pada awal tahun) dan membina kelebihan daya saing kami iaitu kelajuan, perkhidmatan dan personalisasi.
“Kami telah melancarkan lebih 30 projek di bawah lapan tunggak, memfokuskan pada projek berimpak tinggi dan kurang kompleks serta inisiatif kemampanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagi keutamaan strategik Bank TK2023, pemerolehan pelanggan baharu kepada bank meningkat 58 peratus tahun ke tahun kepada kira-kira 89,000 pelanggan, melebihi sasaran 80,000 yang ditetapkan.
Pemerolehan dwi-hubungan pemilik perniagaan pula naik 72 peratus kepada 8,700, manakala urus niaga digital meningkat 19 peratus tahun ke tahun dengan pelanggan semakin menggunakan penyelesaian mudah alih dan online yang ditawarkan pihak bank. – KOSMO! ONLINE