KOTA BHARU – Polis Kelantan sudah mengambil keterangan sembilan individu yang juga kakitangan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) bagi membantu siasatan berhubung kes pecah amanah dana sebanyak RM24.8 juta.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan mendapati, identiti sembilan individu itu dipercayai digunakan oleh penolong akauntan Kesedar yang terlibat kes pecah amanah dana Kumpulan Wang Amanah dan Kumpulan Wang Pembangunan milik syarikat itu selama hampir tujuh tahun.
Menurutnya, kesemua individu itu diambil keterangan sebagai saksi untuk kes berkenaan dan sehingga kini tiada tangkapan lain dilakukan.
“Keterangan semua saksi kes berkenaan sudah direkodkan. Tiada tangkapan lain dijalankan selain suspek iaitu penolong akauntan Kesedar yang ditahan sebelum ini.
“Kita percaya suspek melakukan jenayah terbabit seorang diri,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang penolong akauntan Kesedar dicekup pada Jumaat lalu selepas dipercayai pecah amanah berjumlah RM24.8 juta.
Lelaki berusia 37 tahun itu ditahan pukul 12.21 tengah malam oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang. – KOSMO! ONLINE