VENICE, ITALI – Seorang lelaki di Itali hidup bersama mayat ibunya selama enam tahun bagi membolehkan dia membolot wang pencen si mati, lapor akhbar Daily Star semalam.
Lelaki yang identitinya tidak didedahkan itu memberitahu jiran-jiran bahawa ibunya, Helga Maria Hengbarth pulang ke negara asalnya, Jerman.
Selama enam tahun, dia membolot wang pencen wanita berkenaan berjumlah kira-kira €180,000 (RM888,925).
Kegiatan itu akhirnya disedari polis dan jabatan bomba awal bulan ini. Kedua-dua agensi berkenaan menyerbu apartmen suspek pada 25 Mei lalu. Mereka menemui mayat Helga dalam keadaan mengerikan dan sudah reput.
Mayatnya dibalut dan disimpan di dalam beg mayat yang ditinggalkan di atas katil. Dia dikatakan berkongsi katil itu bersama suspek ketika masih hidup.
Suspek tiada di kediaman ketika serbuan dilakukan, namun menyerah diri kepada polis kemudian.
Menurut laporan, cubaan polis untuk menghubungi Helga telah mencetuskan pencarian itu. Pesara terbabit tidak membuat sebarang tuntutan ke atas kad insurans kesihatannya meskipun ketika pandemik Covid-19.
Ia membuatkan polis curiga, yang membawa kepada penemuan mayat wanita berkenaan.
Pihak berkuasa mengarahkan bedah siasat dilakukan ke atas mayat Helga untuk mengetahui punca kematiannya.
Siasatan polis setakat ini mendapati suspek telah mengambil wang pencen sebanyak €30,000 (RM148,148) setahun, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak €180,000 (RM888,925) sepanjang enam tahun. – Agensi