fbpx

100 peluru zaman perang ditemui dalam kapal pengangkut China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELURU zaman Perang Dunia kedua ditemui dalam sebuah Kapal pengangkut dari China yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili, Kota Tinggi, kelmarin.

KOTA TINGGI – Kira-kira 100 butir peluru zaman Perang Dunia Kedua ditemui dalam sebuah kapal pengangkut dari China yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili, kelmarin.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim, Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Warisan Negara (JWN) dan Jabatan Laut Malaysia (JLM) berjaya menemui kesemua peluru yang dipercayai masih aktif.

“Penemuan peluru-peluru melibatkan kerjasama antara agensi terlibat ini dilakukan ekoran penemuan peluru meriam di atas kapal terbabit yang disyaki berasal daripada peluru zaman Perang Dunia Kedua.

“Operasi yang bermula pada pukul 8 pagi dan berakhir sekitar pukul 4 petang melibatkan dua buah aset APMM bersama 15 pegawai dan anggota, 12 anggota unit Pemusnah Bom IPK Johor, tujuh anggota JWN dan seorang anggota JLM.

“Kesemua peluru pelbagai saiz yang ditemui telah diambil dan dibawa oleh Unit Pemusnah Bom PDRM untuk dimusnahkan. Laporan lanjut berkaitan penemuan ini akan dikeluarkan oleh pihak PDRM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, APMM tidak menolak kemungkinan kapal yang berdaftar dari Fuzhou, China ini terlibat dalam aktiviti pencurian bangkai kapal perang lama British di perairan Pahang.

Terdahulu, media melaporkan sebuah kapal pengangkut yang berdaftar dari Fuzhou, China yang membawa muatan besi buruk dan peluru meriam lama ditahan selepas bersauh tanpa kebenaran di kedudukan 20.1 batu nautika timur Tanjung Siang.

Kapal berkenaan ditahan pada pukul 12.45 tengah hari oleh anggota APMM, Zon Maritim Tanjung Sedili yang sedang melaksanakan operasi rutin di Perairan Johor Timur. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI