fbpx

Skuad B-23 buru tiket ‘berganda’ ke Qatar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
WARTAWAN EKSEKUTIF, MUHAMAD ARDIE PUTRA SUHAIMI

EPISOD duka gagal membawa pulang sebarang kilauan pingat pada temasya Sukan SEA Kemboja 2023 perlu dilupakan segera skuad bawah 23 (B-23) kebangsaaan.

Penantian 12 tahun untuk meraih pingat emas temasya sukan dwitahunan berprestij itu sememangnya cukup dinantikan peminat bola sepak tanah air selepas kali terakhir memena­nginya pada edisi 2011.

Malah, kali terakhir skuad muda Harimau Malaya menaiki pentas ‘podium’ adalah pada edisi 2017 di Kuala Lumpur dengan pingat perak apabila tewas kepada Thailand di pentas akhir.

Namun, skuad B-23 kebangsaan masih mempunyai misi penting tahun ini apabila bakal mengharungi kempen kelayakan Piala Asia B-23 2024 di Qatar tahun depan.

Ironinya, pasukan kendalian E. Elavarasan ini mempunyai peluang untuk mengikut jejak langkah skuad senior kebangsaan yang sudah pun layak ke pentas Piala Asia 2023 di Qatar bermula Januari nanti.

Peluang untuk bermain di beberapa stadium utama yang telah menjadi venue tuan rumah untuk kejohanan Piala Dunia 2022 tahun lalu sememangnya tidak boleh dilepaskan barisan pemain remaja kebangsaan.

Di atas kertas, peluang skuad muda negara nampak terbuka selepas sah diundi dalam Kumpulan H bersama Thailand, Filipina dan Bangladesh dengan aksi kelayakan dijadualkan berlangsung di Bangkok September ini.

Kualiti pasukan kebangsaan jika dibandingkan negara pesaing Asia Tenggara seperti Thailand dan Filipina nampak seimbang, manakala kita dijangka tidak mempunyai masalah untuk menewaskan Bangladesh nanti.

Cuma, persoalannya adakah Elavarasan dapat mengumpul barisan pemain terbaik beraksi pada saingan kelayakan nanti.

Sudah pastinya harapan dile­takkan kepada pasukan-pasukan Liga Malaysia (Liga M) untuk melepaskan pemain B-23 yang layak untuk diserapkan jika dipanggil menyertai kem kebangsaan.

Situasi ini cukup penting ke­rana jika kita layak ke kejohanan Piala Asia B-23 2024, peluang untuk merebut tiket automatik ke Sukan Olimpik 2024 di Perancis sudah terbuka.

Ini kerana tiga negara terbaik pada kejohanan peringkat remaja itu akan beraksi di temasya sukan terbesar di dunia di Perancis pada Julai tahun depan.

Bekas pengurus skuad B-23 negara, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berpendapat masih ada sinar buat pasukan muda negara sekiranya berjaya mengumpulkan semua pemain terbaik pada kejohanan seterusnya nanti.

Katanya, pengalaman pahit di Kemboja perlu dilupakan segera dan mempersiapkan diri sebelum mengharungi aksi kelayakan September nanti.

“Secara peribadi, saya agak terperanjat dengan keputusan skuad B-23 kebangsaan pada temasya Sukan SEA baru-baru ini (selepas terkandas di peringkat kumpulan).

“Namun, saya yakin dengan bimbingan Elavarasan, mereka akan lupakan pengalaman pahit itu sekali gus terus maju pada kejohanan bakal disertai nanti.

“Harus diingat, beberapa pemain yang layak untuk mewa­kili skuad B-23 tidak dapat sertai kerana Sukan SEA tiada dalam kalendar antarabangsa FIFA.

“Situasi mungkin berbeza andai mereka dapat bermain dan kejohanan akan datang sudah pasti akan dilakukan pada kalendar FIFA,” katanya.

Antara pemain bertaraf bintang yang masih layak untuk ber­aksi pada saingan kelayakan kali ini adalah seperti Mukhairi ­Ajmal, Arif Aiman Hanapi dan Luqman Hakim Shamsudin. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI