fbpx

Saham DXN untuk pelaburan jangka panjang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SIOW JUN bergambar dengan sebahagian daripada produk keluaran syarikat di Cyberjaya baru-baru ini.

DXN Holdings Berhad (DXN) mula disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia pada 19 Mei lalu dengan mencatat kadar diskaun sebanyak satu sen berbanding harga tawaran awam awal (IPO) sebanyak 70 sen, malah ia tidak mencapai sasaran penganalisis yang menjangkakan harga saham syarikat naik kepada 95 sen.

Faktor sentimen pasaran saham tidak baik  bukan dalam kawalan sesiapa, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif DXN, Datuk Lim Siow Jin melihat prestasi tersebut tidak menjejaskan syarikat kerana asas (fundamental) perniagaan syarikat lebih kukuh mampu menjadikan ia sebagai pelaburan jangka panjang.

Menurut beliau, kini menjadi tanggungjawab utamanya untuk menggerakkan hala tuju syarikat dengan lebih aktif ke arah sebuah syarikat MLM (pemasaran pelbagai peringkat) yang berjaya di pasaran domestik dan peringkat global.

Syarikat pengeluar produk penjagaan kesihatan dan kecantikan yang memiliki kilang pengeluarannya di Jitra, Kedah itu akan terus meneroka pasaran baharu di luar seperti di Afrika dan Amerika Selatan bagi menambah ragkaian empayarnya yang sudah bertapak di 48 buah negara memiliki hampir 15 juta ahli diseluruh dunia.

Pengalaman syarikat dinyahsenarai pada tahun 2011 selepas disenaraikan di Pasaran Utama pada 2003 membuatkan DXN dan Siow Jin lebih matang mengoperasikan perniagaan, meluaskan empayar dan berusaha untuk memastikan pelaburnya mendapat hasil pulangan yang baik daripada pelaburan masing-masing.

“Kita tidak boleh kawal sentimen pasaran saham tetapi kita boleh kawal untung rugi. Ini tanggungjawab saya untuk dapatkan lebih banyak pendapatan, jualan dan kita akan kongsi dengan pemegang saham.,” katanya dalam temu bual di Cyberjaya baru-baru ini.

Kosmo!: Hari pertama DXN disenaraikan di Bursa Malaysia baru-baru ini, harga saham turun 69 sen iaitu diskaun satu sen berbanding harga IPO pada 70 sen, apa pandangan datuk?
Lim Siow Jin: Dagangan pada hari tersebut adalah baik tetapi pada hari pertama kami disenaraikan, sentimen pasaran agak tidak bagus. Turun naik harga­ saham bukan satu faktor yang boleh dikawal.

Banyak pelabur kecil tidak faham DXN dan mereka salah anggap terhadap syarikat. DXN bukan syarikat untuk jualan singkat tetapi ia adalah untuk pelaburan jangka panjang. Kami tidak bimbang (harga saham turun) sebab DXN memiliki fundamental yang kukuh, jualan dan untung yang baik serta tunai di tangan yang banyak.

Pengedar juga bertambah kepada 15 juta orang di seluruh dunia dengan 3.6 juta orang adalah pengedar aktif.

Adakah datuk berasa ‘sedih’ dengan situasi tersebut?
Tidak langsung berasa sedih. Turun naik harga saham adalah perkara biasa, dulu syarikat ketika dinyah senarai, pernah juga harga saham turun. Kalau itu pun tidak boleh tahan, macam mana mahu buat bisnes. Ini semua bergantung kepada masa dan saya yakin harga akan naik.

Apa yang perlu difokuskan sekarang adalah pengembangan DXN sebab baru-baru ini kami telah berjaya menembusi ke pasaran baharu di Uzbekistan, Peru dan Brazil, jadi ini adalah tanggungjawab saya untuk mendapatkan lebih banyak jualan, pendapatan dan berkongsi keuntungan dengan pemegang saham.

Itu yang pen­ting sekarang. Jika fundamental syarikat bagus, untung pun baik, jadi kenapa kita nak risau? Harga saham turun tidak akan menjejaskan syarikat. Ramai orang tidak faham tentang DXN, jika mereka faham, mereka sebenarnya tidak akan jual saham mereka.

Apa pandangan datuk ter­hadap sikap pelabur pada masa kini?
Sebenarnya pemegang saham kena faham objektif mereka melabur dalam pasaran saham.

Mereka kena faham untuk me­labur dalam tempoh jangka panjang bukan untuk tempoh singkat seolah-olah seperti dalam kasino untuk mereka dapat untung dan angpow, mereka tak boleh bertindak begitu, mereka tidak boleh mencuba nasib untuk kaut untung, Jangan pinjam wang untuk beli saham, itu pun satu tindakan yang tidak baik.

Kalau tak ada duit, jangan pinjam dan beli saham. Ada juga yang tidak faham dengan fundamental lalu beli saham masa harga tinggi dan jual pada harga rendah sedangkan semua tahu, kita beli saham pada harga rendah dan jual pada harga tinggi.

Bagaimana pandangan ahli dan pelabur terhadap DXN?
Ada pelabur yang membeli saham sehingga RM500,000, itu adalah daripada simpanan jangka hayat mereka selama ini kerana mereka percaya kepada DXN.

Jadi itu adalah tanggungjawab kami untuk menjaga nilai pelaburan mereka. Disebabkan itu, kami mahu memberi mereka pulangan daripada pembayaran dividen.

Syarikat bakal mengumumkan kadar dividen tahunan dengan nisbah pembayaran sasaran antara 30 hingga 50 pe­ratus daripada keuntungannya. Kadar tersebut lebih baik daripada simpanan di dalam bank.

Pengalaman sebelum DXN diyahsenarai, pulangan yang diberi kepada pelabur adalah sebanyak 40 pe­ratus. Kita akan ber­kongsi untung dengan pelabur bila syarikat dapat untung. Jumlah tersebut kita boleh putuskan dan sekiranya prestasi syarikat lebih baik maka pastinya harga saham akan naik pada masa depan.

Pelabur luar negara juga dikatakan berminat terhadap saham DXN?
Ada kira-kira 150,000 orang dari luar negara mahu membeli saham DXN tetapi mereka terpaksa mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Bursa Malaysia dan juga Suruhanjaya Sekuriti. Saya menjangkakan semua perkara tersebut dapat diselesaikan dalam tempoh tiga bulan ini.

Apa perkembangan terbaharu DXN selepas disenaraikan?
Perkembangan DXN sekarang sangat bagus, ini adalah syarikat MLM yang menjalankan perniagaan secara tunai dan kami tiada hutang malah kami juga adalah syarikat pengeluar produk ­berasaskan ganoderma sejak 30 tahun lalu, fasa pertumbuhan syarikat sangat menggalakkan.

Kami ada kilang yang mana jualannya telah berkembang sebanyak empat hingga lima kali ganda, jadi syarikat memiliki kestabilannya dan ia bukan se­perti syarikat MLM lain yang menjalankan perniagaan berasaskan yuran dan kos lain. Keuntungan kami diperoleh semata-mata daripada jualan produk.

Sesebuah MLM yang sihat perlu dilihat kepada jumlah tunainya yang banyak. Walaupun DXN dianggap sebagai sebuah syarikat tempatan tetapi kami berjaya menembusi pasaran luar negara. Kam berkeyakinan DXN akan menjadi sebuah MLM yang terbaik dan terbesar di seluruh dunia. -KOSMO!ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI