fbpx

Reman lelaki bunuh, bakar kekasih hamil sambung lima hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek ketika dibawa ke mahkamah dengan dikawal ketat anggota polis di Mahkamah Majistret Kuala Selangor, Kuala Selangor, pagi tadi. Foto oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED/KOSMO!

KUALA SELANGOR – Reman seorang lelaki yang disyaki membunuh dan membakar teman wanitanya di kebun kelapa sawit di Kampung Sungai Limau, Sungai Besar disambung selama lima hari sehingga Jumaat ini.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, kebenaran lanjutan reman ke atas suspek berusia 20 tahun itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Selangor hari ini dan siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Tempoh reman yang berakhir hari ini disambung sehingga Jumaat ini. Kita akan merujuk kertas siasatan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan pendakwaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, suspek yang berpakaian lokap ungu itu hadir ke mahkamah dengan dikawal ketat anggota polis, kira-kira pukul 8.10 pagi.

Dalam pada itu, Agus Salim meminta orang ramai tidak sewenangnya mengeluarkan sebarang kenyataan tidak sahih di media sosial mengenai kes berkenaan.

“Tindakan menyebarkan spekulasi itu hanya akan mengganggu siasatan polis yang sedang dijalankan ketika ini. Kita tidak akan teragak-agak membuka kertas siasatan ke atas individu itu mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” tegasnya.

Kosmo! kelmarin melaporkan keluarga wanita hamil yang dibunuh dan dibakar itu menyerahkan sepenuhnya kepada polis bagi menjalankan siasatan kes itu.

Mereka turut berharap si pelaku mendapat balasan setimpal mengikut undang-undang dan jenazah anak kelima daripada enam beradik itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Nelayan Sungai Besar, Jumaat lalu.

Tindakan tidak berperikemanusian itu dilakukan suspek selama dua hari bermula Isnin minggu lalu selepas berlaku perselisihan faham berkaitan menyembunyikan kehamilan luar nikah mangsa yang berusia 21 tahun.

Selain memukul dan menoreh perut pelayan restoran itu, suspek dipercayai turut sempat membeli minyak petrol di stesen minyak untuk membakar mangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI