KUALA NERUS – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Nerus membuat laporan polis hari ini berhubung dakwaan kenyataan fitnah yang dibuat sebuah akaun Facebook disyaki palsu.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Nerus, Mohd. Hafiz Aziz berkata, akaun Facebook palsu tersebut menyalahguna menggunakan nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Datuk Seri Dr. Ahmad Razif Abdul Rahman.
Katanya, hantaran berbaur fitnah itu yang disedari 26 Mei lalu tersebut seolah-olah Ahmad Razif yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus menyatakan sokongan kepada Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali sebagai calon Menteri Besar.
“Muatnaik status daripada Facebook tersebut kononnya dibuat Ahmad Razif selain turut dikongsi akaun ‘Info Politik Terkini’ yang jelas cuba menjatuhkan imej dan reputasi bekas Menteri Besar Terengganu tersebut.
“Kami rasa terpanggil kerana pengendali akaun palsu itu berniat jahat dengan menyebabkan kekeliruan awam sedangkan Ahmad Razif tidak pernah membuat kenyataan sedemikian.,” katanya ketika ditemui di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE