fbpx

Mahkamah: KJ saman Jamal RM1juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairy Jamaluddin dan Jamal Md Yunos

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memfailkan saman fitnah terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos dan menuntut ganti rugi melebihi RM1 juta di Mahkamah Tinggi di sini.

Khairy Jamaluddin, 47 atau KJ selaku plaintif memfailkan saman itu dengan menamakan Jamal, 53, sebagai defendan melalui firma guaman, Tetuan Aizat Izuan Shakeel pada 24 Mei lalu.

Saman itu berhubung dakwaan bahawa parti itu mengimport perwakilan luar supaya tidak mengundi usul jawatan nombor satu dan dua, tidak dipertandingkan.

Menurut penyata tuntutan yang difailkan, pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 diadakan 14 Januari lalu, Jamal telah mengeluarkan kenyataan yang mendakwa Khairy telah membuat kenyataan jahat terhadap UMNO berhubung isu perwakilan luar pada pengundian parti itu.

Jamal juga telah memuat naik rakaman sidang media itu di akaun Facebook `DS Jamal Yunos (DS Jamal Yunos Official)’ dan TikTok di bawah nama pengguna ‘jamal_yunos’ bertajuk “Saya harap Khairy Jamaluddin dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin UMNO selepas mengeluarkan kenyataan yang semborono dan memalukan UMNO #UmnoDuluKiniDanSelamanya”.

Khairy menyatakan, kenyataan-kenyataan berbaur fitnah itu telah merujuk kepadanya dan turut menyebut namanya secara jelas.

Kenyataan-kenyataan berbaur fitnah itu antara lainnya menggambarkan bahawa plaintif adalah seorang pemimpin yang tiada integriti, tidak mempunyai kredibiliti, melakukan rasuah untuk menimbulkan perpecahan dalam kalangan ahli parti demi kepentingan peribadi serta tidak setia pada parti dan pemimpin parti.

Oleh itu, Khairy memohon perintah mahkamah menuntut Jamal membuat dan menerbitkan permohonan maaf di laman Facebook di bawah nama “DS Jamal Yunos (DS Jamal Yunos Official)”, akaun media sosial TikTok “jamal_yunos” dan akhbar-akhbar utama.

Plaintif juga memohon perintah agar Jamal memadamkan penerbitan berbaur fitnah itu daripada akaun-akaun lama sosial terbabit.

Khairy turut memohon ganti rugi khas sebanyak RM1 juta dan ganti rugi am, teruk serta teladan yang akan ditaksirkan kemudian oleh mahkamah.

Turut dimohon ialah faedah, kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu, semakan di sistem dalam talian mahkamah menunjukkan kes saman tersebut ditetapkan untuk pengurusan kes, esok di hadapan Timbalan Pendaftar, Nik Nur Amalina Mat Zaidan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI