BIDOR – Cubaan memotong kabel tembaga di bilik kuasa elektrik di sebuah kilang pasir di Kampung Coldstream dekat sini hari ini, dipercayai menjadi punca seorang lelaki maut akibat renjatan elektrik.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, semakan ke atas lelaki berusia 27 tahun itu mendapati dia memiliki lapan rekod jenayah lampau termasuk bersabit kes narkotik.
“Lelaki itu ditemukan orang awam dalam keadaan tertiarap dan tidak sedarkan diri di dalam bilik kuasa elektrik tersebut. Dia disyaki terkena renjatan elektrik ketika cuba memotong kabel tembaga di bilik berkenaan.
“Pasukan perubatan yang hadir di lokasi kejadian mengesahkan kematian lelaki itu. Mayatnya dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat,” katanya.
Tambah beliau, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – KOSMO! ONLINE