BIDOR – Seorang lelaki maut akibat terkena renjatan elektrik dalam kejadian di sebuah kilang pasir di Kampung Coldstream, di sini hari ini.
Difahamkan, kilang itu sudah lama tidak beroperasi dan mangsa dipercayai orang awam masuk ke premis berkenaan tanpa kebenaran.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat pada pukul 11.30 pagi.
Katanya, setibanya pasukan di kilang itu, didapati terdapat seorang lelaki berusia lingkungan 40-an terbaring dan tidak sedarkan diri.
“Ketua operasi mendapati masih ada arus elektrik di kawasan mangsa dan segera menghubungi pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk bantuan.
“Pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa yang belum dikenal pasti identitinya itu telah pun meninggal dunia,” katanya.
Tambah beliau, operasi kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada pukul 1.35 petang. – KOSMO! ONLINE