fbpx

Kapal China bawa peluru meriam lama ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELURU meriam ditemui dalam kapal pengangkut berdaftar dari Fuzhou, China yang ditahan selepas bersauh tanpa kebenaran di kedudukan 20.1 batu nautika timur Tanjung Siang tengah hari, semalam.

KOTA TINGGI – Sebuah kapal pengangkut yang berdaftar dari Fuzhou, China yang membawa muatan besi buruk dan peluru meriam lama ditahan selepas bersauh tanpa kebenaran di kedudukan 20.1 batu nautika timur Tanjung Siang, tengah hari, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal berkenaan ditahan pada pukul 12.45 tengah hari oleh anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Tanjung Sedili yang sedang melaksanakan operasi rutin di Perairan Johor Timur.

Katanya, pemeriksaan mendapati kapal tersebut dikendalikan 32 kru dan gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia.

“Kesemua kru adalah lelaki termasuk nakhoda terdiri daripada 21 warga China, 10 warga Bangladesh dan seorang warga Malaysia berusia di antara 23 hingga 57 tahun.

“Pemeriksaan lanjut ke atas kapal mendapati terdapat besi buruk dan menjumpai peluru meriam disyaki mempunyai kaitan kes penemuan Unexploded Ordnance (UXO) di Tanjung Belungkor pada 19 Mei lalu.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, Maritim Malaysia akan bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Laut Malaysia dan Jabatan Warisan Negara untuk mengenal pasti peluru yang dijumpai di atas kapal tersebut disyaki berasal daripada peluru zaman perang dunia kedua.

Tambahnya Maritim Malaysia juga akan terus memantau dan memastikan perairan Johor Timur bebas daripada segala aktiviti yang menyalahi undang-undang serta tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan yang lebih tegas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI