fbpx

Kalau iman goyah, beritahu isteri – Remy Ishak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
REMY ISHAK percayakan ketelusan dalam hubungan bersama isteri.

KUALA LUMPUR – Pelakon Remy Ishak tidak segan untuk berbincang dengan isteri, Ezza Yusof sekiranya wujud permasalahan melibatkan orang ketiga dalam perkahwinan.

Kata Remy atau nama sebenarnya, Mohammad Zalimei Ishak, diskusi adalah jalan terbaik untuk menjaga keharmonian sesebuah institusi perkahwinan.

“Benda-benda begini, kita kena bagitahu. Saya selalu beritahu pada diri bahawa tiada orang yang salah sebenarnya.

“Tiada orang nak sondol siapa. Benda berlaku ada sebab. Kadang-kadang, dua-dua jadi, tepuk tak jadi. Kenapa balas tepukan itu. Benda-benda begitu.

“Tapi, alhamdulillah isteri saya seorang yang memahami. Kami ada bincang dan sembang tentang apa yang kerap berlaku sejak akhir-akhir ini dalam kalangan golongan selebriti (rumah tangga diganggu pihak ketiga),” katanya kepada Kosmo! Online.

Ujar Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-31 itu lagi, diskusi sihat antaranya dengan isteri sentiasa berlaku dan masing-masing berfikiran terbuka.

“Apa yang berlaku di sekeliling sekarang bagus kerana dapatlah saya kongsi dengan isteri.

“Saya tanya dia, macam mana kalau benda ini (rumah tangga diganggu pihak ketiga) berlaku pada kita. Kita berbincang sebab memang manusia tak tahu apa jadi pada masa hadapan.

“Saya pun cakap dengan isteri, kalau benda ini jadi tolong jangan marah. Dan, saya pun cuba jaga diri supaya kecurangan tidak berlaku dalam perkahwinan.

“Senang cerita, apa-apa pun, kita sentiasa berbincang. Kalau dapat mesej pelik-pelik dalam media sosial, saya siap tunjuk isteri,” ujarnya yang sentiasa berpegang bahawa ketelusan dan kejujuran dalam perhubungan.

Berbicara lanjut tentang kejujuran atau ketelusan dalam perhubungan, Remy, 41, berkata, elemen itu sangat penting.

“Ketelusan sangat penting dalam perkahwinan. Kalau apa-apa berlaku di masa depan, pasangan kita tahu kita macam mana orangnya.

“Kalau tak ‘transparent’ (banyak sembunyikan kebenaran), tiba-tiba pasangan dapat tahu, akan timbul masalah besar.

“Kalau iman saya goyah atau berlaku apa-apa, saya akan beritahu isteri. Itu lebih bagus,” jelasnya.

Remy berkahwin dengan Ezza 21 Ogos 2021 dan kini sedang menanti cahaya mata sulung yang dijangka lahir, Ogos depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI