MEKAH – Kursus asas yang dianjurkan Tabung Haji (TH) di Malaysia ternyata berkesan apabila rata-rata kumpulan jemaah haji pertama yang melakukan umrah wajib pada Jumaat lalu lulus dengan cemerlang tanpa memerlukan mereka membayar dam.
Pengarah Operasi Bimbingan Haji, Ustaz Tengku Aziz Raja Abdullah berkata, pemeriksaan balas yang dibuat terhadap jemaah sebaik mereka selesai melakukan umrah mendapati rata-rata mereka faham mengenai rukun dan wajib umrah.
Katanya, umrah wajib perlu dilakukan apabila jemaah masuk ke Mekah dari Madinah kerana mereka berniat untuk mengerjakan haji tamatuk.
“Ketika berkursus, mereka sentiasa diingatkan hal-hal berkaitan umrah dan haji. Tidak cukup dengan itu, TH menyediakan pembimbing ibadat haji tanah suci di mataf dan mas’a.
“Mereka mengakui tidak keliru ketika bertawaf dan saie. Ini bertepatan dengan apa yang dilakukan oleh ulama terdahulu di mana ada antara mereka belajar sehingga lapan tahun sebelum berangkat mengerjakan haji,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Menurut Tengku Aziz, jemaah haji mesti membuat perancangan ibadat mereka sendiri supaya tidak mensia-siakan masa yang ada di Tanah Suci seperti membaca al-Quran, berzikir dan memperbanyakkan doa di dalam Masjidilharam.
“Jangan asyik tidur dan makan sahaja,” katanya. – KOSMO! ONLINE