fbpx

IIC beri peluang WBL kepada pelajar Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHAHAWATI bersama Budi Hartawan (duduk, kanan) sewaktu menandatangani MoU antara IIC dan Kemnaker di Hotel Perdana, Kuala Lumpur baru-baru ini.

KINI pendidikan berasaskan pembelajaran dalam alam pekerjaan atau work based learning (WBL) telah menjadi satu langkah terbaik dalam menyediakan tenaga kerja berkemahiran dan berpengalaman.

Melalui program WBL, pelajar bukan sahaja dapat meraih pengetahuan, malah mereka juga akan mendapat lebih pengalaman sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Bagi membolehkan pelajar mendapat peluang itu, Kolej Antarabangsa Inovatif (IIC) telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama Kementerian Tenaga Kerja (Kemnaker), Indonesia bagi program tersebut.

Malah, MoU itu melibatkan Politeknik Negeri Media Kreatif Indonesia dan Poli Negeri Pariwisata (Poltekpar) Medan.

Presiden IIC, Shahawati Umar berkata, kerjasama yang dijalankan melalui MoU tersebut adalah untuk melaksanakan program berinovatif dalam bidang pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Menurutnya, melalui kerjasama itu juga, ia memberi peluang kepada pelajar dari Indonesia untuk mengikuti WBL di negara ini.

“Pelajar dari Indonesia ini mempunyai pusat latihan yang sangat sempurna bagi membolehkan mereka mendapat latihan awal.

“Apa yang pihak kami lakukan adalah pindah kredit supaya apabila datang ke Malaysia, mereka terus boleh melakukan praktikal.

“Tempoh praktikal di Malaysia secara WBL mengambil masa yang panjang iaitu antara 18 hingga 24 bulan,” katanya.

Tambahnya, kira-kira 4,000 pelajar dari Indonesia bakal terlibat dalam program WBL tersebut.

Bagi fasa pertama, pihaknya telah menyediakan peluang itu kepada 500 pelajar dan kemasukan seterusnya akan dilakukan secara berperingkat.

Dalam pada itu, tiga program pengajian yang telah diluluskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) adalah Diploma Hotel Management, Diploma Retail Management dan Diploma in Culinary Art.

Shahawati berkata, pelajar-pelajar yang mengikuti program itu bakal ditempatkan di beberapa hotel lima bintang di seluruh negara.

Malah, dia menyasarkan pelajar-pelajar tersebut akan memulakan pekerjaan sebagai graduan terlatih kelak.

“Mereka bukan sekadar fresh graduate tetapi fresh graduate with experience.

“Pelajar yang menamatkan pengajian di institusi ini diyakini dapat memenuhi kehendak industri apabila mereka menerima latihan secukupnya ketika di peringkat pengajian lagi,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Innovative Capital Berhad, Datuk Wira Dr. Azizan Osman berkata, program WBL merupakan kaedah pembelajaran yang inovatif dalam menyediakan pelajar kepada pasaran kerja yang semakin mencabar.

“Program ini memberi peluang kepada pelajar belajar secara langsung di tempat kerja, pengalaman praktikal dan meningkatkan kemahiran diperlukan.

“Ini kerana format itu menyediakan pelajar dengan ilmu kemahiran berinovasi tinggi bagi menempuh dunia pekerjaan.

“Pada masa sama, ia dapat memastikan pelajar ini berdaya saing di alam kehidupan sebenar.

“Pendidikan bukan lagi sekadar untuk mendapat pekerjaan tetapi lebih kepada cara hidup dan kemahiran bagi menentukan kehidupan anda pada masa depan,” terangnya.

Beliau juga percaya bahawa keusahawanan dan inovasi dalam pendidikan adalah penting untuk mencari penyelesaian kepada masalah dunia nyata.

Ujarnya, elemen tersebut mampu mempengaruhi kelangsungan hidup kita pada hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Latihan Vokasional dan Pembangunan Produktiviti Kementerian Tenaga Kerja Indonesia, Budi Hartawan berkata, melalui kerjasama yang terjalin, ia memberi peluang kepada pelajar di bawah pusat latihan mereka mendapat peluang melaksanakan praktikal di hotel-hotel Malaysia.

“Sebagai projek perintis, kerjasama ini bukan hanya memberi peluang kepada pelajar dari Indonesia melakukan latihan praktikal, malah mereka akan menerima siji dari IIC sendiri.

“Diharapkan pada masa hadapan, para pelajar boleh menimba pelbagai ilmu dan kemahiran.

“Pelajar juga dapat mempelajari sikap pekerja di hotel yang boleh dijadikan bekal untuk mendapatkan pekerjaan dalam sektor perhotelan apabila kembali ke Indonesia,” katanya.

Tambahnya, dia berharap melalui kerjasama itu, ia dapat memberi manfaat kepada kedua-dua agensi serta menjadi ‘jambatan’ yang mampu mengeratkan lagi hubungan dua hala antara Indonesia dan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI