fbpx

EMI kembali bernafas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EMI Music Malaysia menghentikan operasi sebagai syarikat tunggal pada September 2008.

PERNAH melalui zaman kemuncak sejak bertapak pada 1966, EMI Music Malaysia (EMI) kini dijenamakan semula sebagai sebuah entiti tunggal dalam misi mengembalikan semula era kegemilangan sebagai sebuah syarikat rakaman muzik.

Bertempat di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur, majlis pelancaran syarikat rakaman ikonik tersebut sekali gus memperkenalkan dua bintang baharu naungan mereka, Irfan Haris dan Ezra Kairo.

Ketua EMI Music Malaysia, Adib Hamdi berkata, peluang dipilih memimpin perjalanan label baharu oleh Universal Music Malaysia yang sebelum ini mengambil alih EMI Music Malaysia sejak 2013 sebagai satu tawaran keemasan.

Berbekalkan pengalaman selama tujuh tahun terbabit dalam industri hiburan tempatan antaranya bersama World Peace Entertainment dan XO House, Adib memulakan tugasnya sejak November tahun lalu.

“Rugi kalau saya tidak menceburkan diri dalam bidang korporat. Saya percaya boleh mengemudi EMI dengan corak fikiran tempatan yang bagus.

“Saya ada berborak mengenai perkara ini dengan beberapa rakan industri antaranya Ezra Kong dan Mike Chan. Apa yang penting saya sendiri kena berusaha berbekalkan kemampuan yang ada,” ujarnya.

Lelaki berusia 30 tahun itu berjanji akan mengemudi operasi EMI mengikut trend pasaran semasa untuk memberi nafas baharu kepada syarikat rakaman tersebut.

“Saya kena buktikan kepada diri sendiri bahawa saya mampu untuk menggalas tugas ini. Selagi saya ikhlas membimbing keseluruhan pasukan, semuanya pasti akan baik-baik sahaja.

“Kedengaran agak mudah, tetapi tugasnya sangat sukar sebenarnya. Paling utama, kami kena adaptasi banyak perkara dengan media sosial, umpamanya seperti TikTok untuk memberi pengaruh terhadap pasaran muzik,” jelasnya.

Strategi

Berkongsi soal strategi membina semula nama yang kukuh, akui Adib, aplikasi media sosial seperti TikTok merupakan platform paling relevan untuk digunakan zaman sekarang.

“Kalau dahulu orang akan gunakan YouTube, tapi sekarang saya harus akui, TikTok mempunyai pengaruh yang lebih kuat,”jelasnya.

Berhubung pemilihan artis naungan, Adib percaya dengan kemampuan bakat-bakat baharu.

“Saya suka melentur artis-artis baharu kerana energi mereka berbeza. Pada masa sama, saya sentiasa terbuka.

“Semakin banyak lagu baharu akan dilancarkan pada masa hadapan.

“Walaupun bermula pada November (tahun lalu) dan sekarang sudah Mei, kami sudah lancarkan dua lagu sebelum Aidilfitri lalu,” katanya usai sidang media pelancaran EMI Music Malaysia, baru-baru ini.

Keluarga baharu

Sementara itu, Irfan meluahkan keterujaannya menjadi ‘keluarga’ label berkenaan memandangkan sejarah cemerlang EMI satu ketika terdahulu banyak melahirkan penyanyi-penyanyi terbaik yang pernah ada.

“Sudah tentu saya teruja dan memang pernah berharap jika EMI kembali wujud, saya mahu menyertainya.

“Tidak sangka impian saya kini telah pun menjadi kenyataan,” jelasnya.

Bagi Ezra Kairo pula, walaupun dilahirkan pada era berbeza, dia juga tahu serba sedikit tentang kegemilangan yang pernah diraih EMI.

Legenda

Katanya, syarikat tersebut pernah menjadi platform melahirkan ramai bintang-bintang legenda dalam persada seni muzik tanah air.

“Siapa tidak kenal Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarham Puan Sri Saloma? Mereka antara legenda yang pernah bernaung bawah EMI Music Malaysia.

“Malah ramai lagi artis ternama lain yang pernah bernaung di bawah bumbung syarikat rakaman ini. Apabila saya ditawarkan mengikat kontrak bersama EMI, sudah tentu saya tidak menolaknya,” ujar penyanyi berusia 22 tahun itu.

Selain P. Ramlee dan Saloma, antara penyanyi lain yang pernah ‘berteduh’ bawah bumbung EMI Music Malaysia, termasuklah Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Ella, KRU, Rahmat Mega, Aris Ariwatan, Rahim Maarof dan Fauziah Latif.

EMI Music Malaysia menghentikan operasi sebagai syarikat tunggal pada September 2008.

Pada 2014, syarikat tersebut kembali dijenamakan dan menyertai Universal Music Group.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI