fbpx

Dulu juruaudit kini pengasas kosmetik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norazimah (kiri) aktif mempromosikan produk jualan untuk meningkatkan jenama di pasaran domestik dan di negara jiran.

PETALING JAYA – Keputusannya meninggalkan kerjaya hebat sebagai juruaudit di beberapa buah bank ternama negara lebih sedekad langsung tidak pernah membuatkan wa­nita ini menyesal dengan jalan yang dipilihnya.

Bahkan anak kelahiran Bera, Pahang ini bersyukur dengan keputusan untuk ‘berubah angin’ daripada dunia korporat kepada perniagaan telah dipermudahkan Allah.

Pengarah Urusan Haus International Sdn. Bhd. (Haus) yang juga Pengasas GIM Cosmetics Industries Sdn. Bhd. (GIM Cosme­tics), Norazimah Abd. Jalil, 42, berkata, dia nekad untuk menceburkan diri dalam perniagaan berasaskan kosmetik kerana minat yang mendalam dengan dunia kecantikan.

“Kalau ikutkan sudah lama sebenarnya saya mahu buka perniagaan sendiri tetapi beberapa kali tertangguh disebabkan beberapa halangan tertentu.

“Akhirnya idea tersebut berjaya direalisasikan pada 2019 dan itulah yang menjadikan Haus Cosmetics pada hari ini, sangat unik dan berada dalam kelasnya yang tersendiri.

“Idea itu datang daripada masalah saya sendiri. Ketika itu, saya masih bekerja sebagai juruaudit di sebuah bank dan pada masa yang sama menjadi jurusolek artis secara sambilan,” katanya.

Sebagai jurusolek, beliau yang kagum dengan kualiti bedak asas beberapa jenama terkenal memberi idea bernas untuk membangunkan produk sendiri pada masa depan.

Lebih teruja apabila beliau diajukan soalan daripada ibunya samada produk yang diminati­nya itu memiliki sijilan halal.

“Saya tidak boleh menjawab soalan tersebut sebab saya memang tidak melihat dengan lebih terperinci tentang sumber produk tersebut sama ada halal atau sebaliknya.

“Itulah masalah yang membuatkan saya berfikir sejenak dan berazam untuk membangunkan satu jenama produk kosmetik dari Malaysia setanding, malah lebih baik daripada jenama luar, selain halal untuk digunakan oleh semua wanita,” katanya.

Ibu kepada dua cahaya mata itu juga berazam mahu menghasilkan produk kosmetik yang dapat memenuhi perubahan gaya hidup pelanggan dengan tema on the go, on point, berkesan, selamat dan mudah untuk digunakan setiap hari.

“Saya percaya, dalam lebih 30 juta rakyat Malaysia, ramai yang berdepan dan menghadapi masalah sama seperti saya.

“Justeru itu, Haus Cosmetics menawarkan penyelesaian terbaik untuk saya dan juga mereka,” jelasnya.

Selain itu, Norazimah me­nerangkan, syarikat kini memiliki sebuah kilang, GIM Cosmetics yang mana ia menjadi hab sehenti untuk pengoperasian semua segmen pengeluarannya sehingga kepada fasa pemasaran.

“Kami mengutamakan kualiti formula. Jadi jabatan atau unit yang kritikal adalah kajian dan penyelidikan (R&D), apabila sudah mendapat formula yang baik dan stabil, barulah kita akan membawanya kepada unit pengeluaran untuk penghasilan produk,” jelas beliau sambil ­menambah syarikatnya telah memasuki pasaran Singapura dan Indonesia.

Selain itu, Haus Cosme­tics telah bekerjasama dan me­lantik pengasas syarikat Mibelle Biochemistry, Dr. Fred Zulli dari Switzerland sebagai penasihat kecantikan sejak tahun lepas.

“Dr. Zulli juga dilantik sebagai Penasihat Teknologi Kecantikan untuk jenama Haus.

“Beliau adalah saintis dan individu yang bertanggungjawab dalam bidang R&D yang mana beliau akan membuat pemilihan ramuan dan membangunkan formulasi untuk perancangan sesuatu produk,” katanya.

Tambah Norazimah, bagi meluaskan rangkaian pemasaran, syarikat telah melancarkan sebuah outlet sulung di pusat beli-belah MyTown di Cheras bagi membolehkan pelanggan mendapatkan produk dengan senang.

Menjawab soalan tentang pe­rancangan masa depannya, beliau berharap Haus Cosmetics bakal menjadi rujukan atau benchmark dari seluruh negara untuk menghasilkan produk berkualiti, halal, selamat dan berkesan.

Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman sosial Haus Cosmetics termasuk TikTok, Instagram dan Facebook selain mendapatkan daripada ejen-ejen berdaftar serta layari laman sesawang www.hauscosmetics.com. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI