fbpx

Bekas banduan diberkas proses heroin dalam rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara dadah yang dirampas di sebuah rumah yang dijadikan makmal memprises dadah heroin di Seberang Jaya minggu lalu. Foto oleh SAFINA RAMLI/KOSMO!

GEORGE TOWN – Seorang penganggur yang baharu sahaja dibebaskan dari penjara tahun lalu bagaikan tidak serik apabila ditahan polis sekali lagi selepas disyaki terlibat dengan kegiatan memproses dadah jenis heroin, Khamis lalu.

Suspek lelaki berusia 40 tahun itu ditahan pada pukul 10.30 malam di hadapan sebuah rumah teres dua tingkat yang dijadikan makmal haram memproses dadah di Seberang Jaya dekat sini.

Difahamkan, suspek lelaki yang mempunyai 12 rekod jenayah lampau berkaitan dadah itu mempelajari cara-cara memproses heroin menerusi YouTube dan memperoleh bekalan seperti heroin base dari negara jiran.

Suspek mula terlibat dalam kegiatan berkaitan dadah sejak 2006 dan kali terakhir ditahan pada 2017 atas kesalahan memproses dadah serta dibebaskan dari penjara pada 2022.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, polis menjalankan operasi bermula Khamis hingga Jumaat lalu dan melakukan tiga serbuan di tiga lokasi berasingan di sekitar Seberang Jaya.

“Menerusi serbuan pertama, pihak polis menahan suspek lelaki yang disyaki terlibat dengan aktiviti memproses dadah jenis heroin. Suspek ini ditahan di depan di rumah teres dua tingkat yang disewa kakaknya, di mana kakaknya tinggal bersama abang ipar suspek yang juga seorang orang kelainan upaya (OKU).

“Suspek dipercayai memasak dadah jenis heroin di rumah kakaknya dan kegiatan ini dipercayai diketahui mereka, kakak serta abang ipar suspek adalah saksi utama kes ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.

Menurut Kok Chin, susulan tangkapan suspek, polis kemudian menyerbu rumah teres yang disewa kakak suspek dan telah menjumpai peralatan serta bahan-bahan untuk memproses dadah heroin di situ.

“Siasatan seterusnya membawa kepada serbuan ketiga dan polis menjumpai sebuah kereta Perodua Alza milik suspek yang diparkir di kawasan terbuka kira-kira 600 meter dari rumah kakaknya.

“Polis berjaya menemui satu paket plastik lutsinar berisi dadah jenis heroin seberat 7.4 kilogram bernilai RM61,420 di dalam kereta Perodua Alza ini,” katanya polis turut menyita sebuah kereta Honda Accord serta wang tunai bernilai RM5,050.

Beliau memberitahu, hasil risikan mendapati suspek kembali bergiat aktif memproses dadah heroin sejak 2023 untuk pasaran tempatan dan jumlah keseluruhan dadah itu boleh digunakan seramai 37,000 orang atau 37,000 kali penggunaan.

“Hasil ujian saringan mendapati suspek positif dadah dan telah ditahan reman selama tujuh hari sehingga 1 Jun ini untuk siasatan lanjut,” tambahnya kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI