KUALA LUMPUR – Laungan semangat bergema di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil selepas 144 atlet negara dan 84 pegawai bersedia untuk memulakan perjuangan pada Sukan Para Asean (APG) Kemboja yang membuka tirai 3 hingga 9 Jun ini.
Sebanyak 33 kilauan pingat emas menjadi sasaran kontinjen Malaysia menjelang temasya edisi ke-12 tersebut, sekali gus bakal menyamai kejayaan atlet negara sewaktu di APG Solo, Indonesia tahun lalu.
Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, atlet negara sudah bersedia dan kali ini seramai 62 atlet bakal membuat penampilan pertama pada temasya tersebut.
Jelas Megat, Malaysia juga tidak akan menghantar tiga juara Olimpik negara, Datuk Latif Romly, Ziyad Zulkifli dan Cheah Liek Hou ke Kemboja.
“Pastinya kita akan kehilangan tiga pingat emas kerana mereka bertiga tidak akan menyertai temasya kali ini. Bagi saya mereka berada pada tahap lain dan juara dunia.
“Kita memfokuskan mereka untuk memburu slot ke Paralimpik Paris 2024 nanti. Jadi, bagi saya mereka tidak perlu mengambil bahagian tahap Asia Tenggara.
“Kita juga bagi peluang kepada atlet baharu dan yakin mereka mampu lakukan terbaik. Ini adalah peluang untuk atlet ini membuktikan kemampuan mereka dan ini adalah peluang terbaik buat mereka.
“Kita percaya akan ada atlet yang mampu mencipta kejutan dan tidak mustahil menambah jumlah pungutan pingat keseluruhan untuk kontinjen Malaysia kali ini,” katanya pada sidang akhbar di MSN hari ini.
Pada temasya kali ini, atlet kontinjen Malaysia akan mengambil bahagian dalam 13 daripada 14 jenis sukan termasuk satu sukan demo iaitu e-Sukan.
Malaysia akan mengambil bahagian dalam 153 acara atau 35.66 peratus daripada keseluruhan 429 acara yang dipertandingkan. Ini bermakna, Malaysia tidak akan bersaing dalam perebutan 276 pingat emas.
Pada temasya itu, sukan Olahraga menyaksikan penyertaan jumlah teramai ke Kemboja iaitu 29 atlet dan 10 orang pegawai. Selain itu, 45 atlet dan 15 pegawai daripada empat acara berpasukan pada Sukan Para Asean kali ini. -KOSMO! ONLINE