KOTA BHARU – Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini membenarkan anak kedua kepada pengasas produk kecantikan, Dnars Skincare mendapat hak penjagaan (hadanah) adik bongsunya selepas tidak dibenarkan untuk bertemu dengan kanak-kanak itu sejak empat tahun lalu.
Keputusan itu diputuskan oleh Hakim Zaini Sulaiman selepas Qaseh Khadija Ahmad Shahrizal, 10, memilih untuk tinggal bersama tiga plaintif iaitu kakak, Irdiena Hakim Jasman, 20, neneknya, Khatijah Mirdin, 71, dan ibu saudara, Faradila Rohban Ahmad, 36.
Ketiga-tiga plaintif membuat tuntutan hadanah untuk hak lawatan, bermesra dan bermalam terhadap Qaseh Khadija iaitu adik tiri kepada Irdiena Hakim yang merupakan anak kedua kepada pengasas Dnars, allahyarham Faziani Rohban Ahmad pada 28 Mac lalu.
Mereka diwakili dua peguam syarie, Naemah Saupi dan Shaharuddin Mohamed.
Irdiena Hakim ketika ditemui melahirkan rasa syukur dan gembira dengan keputusan tersebut selepas Qaseh Khadija yang memilih untuk tinggal bersamanya.
“Saya tidak menjangka Qaseh akan membuat keputusan itu (tinggal bersama),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, Irdiena Hakim membuat permohonan hadanah selepas bapa tirinya selaku defendan, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 46, tidak membenarkan dia berjumpa dengan adik bongsunya.
Menurutnya, dia tidak bertemu dengan Qaseh Khadija sejak empat tahun lalu selepas kematian ibunya akibat kemalangan jalan raya di Pattani, Thailand pada 2019.
“Dengan permohonan hadanah ini, saya berharap keputusan dapat dibuat oleh Qaseh Khadija melalui pihak mahkamah. Jika dia mahu tinggal bersama kami, saya sangat bersyukur dengan pilihannya itu.
“Saya hanya mahu bertemu dengannya memandangkan dia anak bongsu daripada empat beradik. Semasa ibu masih ada, kami tidak pernah berpisah. Kali terakhir saya bertemu dengan Qaseh Khadija pada Hari Raya Aidilfitri tahun lalu ketika menziarahi kubur arwah ibu,” katanya.
Katanya, keengganan bapa tiri memberi ruang untuk berjumpa dengan Qaseh Khadija sekali gus menyebabkan emosinya terganggu dan tertekan sehingga perlu mendapatkan khidmat pakar psikologi. – KOSMO! ONLINE