fbpx

Amaran wabak jangkitan kulat akibat pembedahan plastik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang wanita menjalani pemeriksaan di sebuah klinik pembedahan plastik di Park Avenue, Bandar Raya New York pada 6 Disember 2018.- AFP

WASHINGTON – Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) dan Mexico menggesa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) agar mengisytiharkan sejenis wabak jangkitan kulat yang dikaitkan dengan pembedahan plastik di Mexico sebagai darurat kesihatan awam, lapor Badan Penyiaran British (BBC) kelmarin.

Ia bertindak demikian selepas Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) memaklumkan, dua individu yang menjalani pembedahan melibatkan prosedur anestesia epidural meninggal dunia akibat penyakit meningitis.

WHO boleh mengisytiharkan darurat kesihatan awam apabila penyakit merebak antara negara dan tindak balas antarabangsa yang diselaraskan mungkin diperlukan untuk mengawal penularannya.

Dalam pada itu, hampir 400 orang di AS dan Mexico sedang dipantau bagi risiko wabak tersebut selain dua klinik kosmetik di bandar Matamoros turut diarahkan tutup.

Pihak berkuasa AS dan Mexico turut menggesa orang ramai yang menjalani pembedahan melibatkan anestesia epidural sama ada di River Side Surgical Center atau Clinica K-3 sejak Januari lalu, supaya mendapatkan pemeriksaan kesihatan walaupun mereka tidak menunjukkan sebarang gejala wabak tersebut.

Pihak CDC di AS berkata, ia telah mengenal pasti 25 orang di AS dengan kes-kes yang disyaki atau kemungkinan menghidap penyakit meningitis kulat.

Ramai warga AS pergi ke Mexico untuk menjalani pembedahan plastik seperti prosedur sedut lemak, pembesaran payudara dan punggung yang kesemuanya memerlukan suntikan anestetik ke kawasan sekitar tulang belakang.

Seorang pegawai CDC AS, Dallas Smith berkata, ubat-ubatan yang digunakan semasa prosedur itu mungkin telah tercemar sama ada menerusi suntikan ubat bius atau dalam ubat lain yang ditambah  semasa pembedahan, seperti morfin.

“Terdapat kekurangan (bekalan ubatan) pada masa ini di Mexico dan berkemungkinan adanya potensi pasaran gelap yang boleh mencemari ubat-ubatan,” kata Smith.

Pada Oktober tahun lalu, satu barisan ubat bius tempatan yang biasa digunakan untuk pembedahan seperti pembedahan kelahiran didapati telah dijangkiti kulat, yang menyebabkan 39 orang mati di negeri Durango, Mexico.

Gejala awal meningitis kulat yang paling biasa adalah sakit kepala, diikuti dengan gejala seperti demam, muntah, sakit leher dan penglihatan menjadi kabur.

Meningitis kulat tidak berjangkit dan boleh dirawat dengan ubat antikulat tetapi ia boleh mengancam nyawa dengan cepat apabila gejala-gejala itu bermula. 

Dalam pada itu, laman berita CBS News melaporkan, satu jawatankuasa WHO perlu bermesyuarat terlebih dahulu sebelum darurat kesihatan awam diisytiharkan oleh Ketua Pengarah agensi itu.

“Kami dimaklumkan mengenai ratusan laporan setiap hari dan menilai setiap satu,” kata jurucakap WHO, Margaret Ann Haris menerusi e-mel berhubung kes wabak kulat di Mexico.

Beliau bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada pemberitahuan sedemikian datangnya dari AS atau sebaliknya, dengan menyatakan komunikasi antara negara terlibat adalah sulit. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI