DI sebalik keayuan gadis kecil molek ini, tiada siapa yang sangka dia kini seorang guru praktikal yang mendidik anak bangsa untuk mnjadi insan berguna.
Sharmine Arisha Saifu Zaman atau lebih dikenali sebagai Arisha seorang gadis muda berusia 22 tahun yang berjiwa besar dan mempunyai matlamat jelas dalam hidupnya.
Arisha memilih untuk melanjutkan pelajarannya sehingga ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Selangor (Unisel).
Anak kedua daripada tiga adik beradik ini bukan sahaja bijak dalam pelajaran, malah dia juga berbakat dalam bermain alat muzik seperti piano.
Kepada Kosmo! Ahad, gadis Pesona Ahad ini berkongsi serba sedikit mengenai dirinya dan berkongsi pengalaman sepanjang menjadi guru.
Kosmo! Ahad: Boleh ceritakan serba sedikit mengenai diri Arisha?
Arisha: Saya seorang guru praktikal dan juga seorang pencipta kandungan (content creator).
Saya merupakan anak kedua daripada tiga orang adik beradik. Pengajian setakat ini adalah Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dengan Kepujian dalam Pengajian Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL).
Mengapa memilih guru sebagai kerjaya?
Profesion guru lebih sesuai dengan jiwa saya. Karenah pelajar sememangnya pelbagai ragam, kunci utama untuk hadapi situasi ini ialah ‘sabar’. Nak atau tidak memang kena sanggup untuk hadapi cabaran tersebut.
Pernah berputus asa dalam pembelajaran?
Tipulah kalau kata tak pernah. Banyak kali saya rasa hendak berputus asa, menangis, tidak tidur siang dan malam, mati akal, penat dan sebagainya dalam menyiapkan tugasan diberi. Namun saya hadapinya dengan sabar demi cita-cita.
Cabaran paling besar selama menjadi guru praktikal?
Saya merupakan orang pertama menjadi guru dalam keluarga dan menjalani latihan mengajar di sebuah Felda.
Cabaran utama, kebanyakan murid tidak terlalu terdedah dengan penggunaan Bahasa Inggeris. Itu adalah satu cabaran untuk Arisha sebagai seorang pendidik. Walaupun begitu, mereka sangat baik dan sangat menghormati guru.
Kalau dihantar menjadi guru di Sabah atau Sarawak, sanggup?
Setakat ini tak sanggup lagi berjauhan dengan keluarga.
Tip Arisha sentiasa kelihatan positif dan ceria di hadapan murid?
Saya akan mewujudkan karakter ceria apabila mengajar dan memastikan murid bersemangat apabila tibanya waktu kelas Bahasa Inggeris. Penampilan juga salah satu kunci untuk menarik perhatian pelajar.
Berbakat dalam bermain alat muzik piano, adakah Arisha akan menjadikannya sebagai kerjaya atau hanya sebagai hobi?
Walaupun Arisha telah menjalani kelas dan latihan piano sejak saya berusia 10 tahun, buat masa ini Arisha hanya menjadikan bakat ini sebagai hobi pada masa lapang.
Lelaki idaman Arisha?
Lelaki idaman saya ialah seorang berperwatakan tenang dan maskulin, selain tinggi. Perancangan masa depan saya ialah untuk menjadi seorang guru Bahasa Inggeris sepenuh masa. Saya yakin dengan ilmu pengetahuan, latihan dan pengalaman yang saya miliki mampu menjadi batu loncatan besar untuk saya.
Apa yang orang tidak tahu tentang Arisha?
Ramai mungkin mereka beranggaopan, saya seorang terlalu berlembut dan memberi peluang ibarat menadah muka untuk sesiapa pun memijak. Akan tetapi, saya seorang yang sangat tegas dan garang, selaras dengan peranan saya sebagai seorang guru.