KUALA NERUS – Kewujudan banyak hospital pakar telah membantu Institut Jantung Negara (IJN) mengurangkan waktu menunggu bagi pesakit yang ingin mendapatkan rawatan pembedahan.
Ketua Pegawai Klinikal IJN, Dr. Hasri Samion, berkata, masalah waktu menunggu yang lama di IJN sebenarnya cuma persepsi lama yang perlu dihakis.
Beliau berkata, secara purata, IJN menerima 45 kes pesakit baharu setiap hari berbanding kapasiti maksimumnya 70 orang.
“Secara realitinya data menunjukkan masih terdapat 40 peratus kekosongan bagi rujukan kes baharu di IJN.
“Begitupun, bagi kes pembedahan tidak dinafikan (kekosongan) masih bergantung kepada tahap penyakit,” katanya selepas meninjau Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (HPUniSZA) di sini hari ini.
Hasri berkata, masa menunggu bagi kes biasa melibatkan pesakit kanak-kanak ialah satu dan dua minggu manakala antara enam dan tujuh bulan untuk kes rumit iaitu pernah dibedah ketika bayi.
Jelas beliau, senario pesakit dewasa agak berbeza kerana 90 peratus menghidap masalah seperti diabetis dan kolestrol kerana banyak aspek perlu dikawal.
“Waktu menunggu bagi pesakit dewasa adalah 12 minggu. Begitupun jika melibatkan kecemasan yang memerlukan pembedahan segera, keutamaan akan diberi secepat mungkin,” katanya. – KOSMO! ONLINE