PERLUMBAAN sulung dalam kelas CP150 pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia musim ini di Litar Jasin Bestari, Melaka hari ini diharap membawa tuah buat pelumba pasukan Tobaki Pink Racing, Qhuwarismi Nasir.
Meskipun dinaikkan secara mengejut dari kelas CP125, namun pelumba berusia 24 tahun itu tetap meletakkan sasaran untuk sekurang-kurangnya menamatkan perlumbaan dalam kelompok 10 teratas.
Bagaimanapun, Qhuwarismi berkata, akan cuba mengikut rentak pelumba-pelumba ‘otai’ menjelang perlumbaan sebenar bagi membolehkan dia mendapatkan momentum terbaik dalam kelas perdana itu.
“Ini adalah perlumbaan pertama saya dalam CP150, jadi tak mahu letak sasaran terlalu tinggi. Saya cuma nak cari momentum dengan mengikut rentak pelumba-pelumba lama dalam kelas CP150 ini.
“Tambahan pula, saya baru nak serasi dengan jentera, jadi perlu dapatkan pelarasan terbaik selain faham enjin dan suspensi. Saya akan cuba dapatkan kedudukan terbaik, mungkin 10 teratas,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Terdahulu, Qhuwarismi dinaikkan pangkat ke CP150 bagi menggantikan Faris Amir Sharifudin yang terpaksa meninggalkan perlumbaan musim ini selepas membuat keputusan untuk melanjutkan pelajaran.
Pelumba kelahiran Pulau Pinang itu turut menyuarakan keyakinan untuk mendapatkan kedudukan terbaik pada perlumbaan pusingan ketiga tersebut selepas melakukan beberapa ujian terhadap jentera sebelum ini.
“Selepas melakukan beberapa ujian terhadap jentera, saya fikir boleh buat kejutan di Jasin berdasarkan kemampuan enjin jentera. Saya akan cuba ikut pelumba-pelumba lama terlebih dahulu bagi dapatkan momentum,” ujar Qhuwarismi.