fbpx

Malaysia Masters: Pearly-Thinaah kalah bermaruah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan dan M. Thinaah ketika menentang pasangan Korea Selatan, Baek Ha Na dan Lee So Hee pada Kejohanan Badminton Perodua Malaysia Masters 2023, di Stadium Axiata Arena, di sini hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Hasrat beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah untuk merangkul gelaran sulung musim ini ranap selepas tewas pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Malaysia Masters di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi.

Pada perlawanan tersebut, beregu yang menghuni ranking ke-11 dunia itu terpaksa akur dengan kekalahan 20-22, 21-8, 17-21 kepada wakil Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee dalam aksi yang memakan masa 1 jam 41 minit.

Meskipun tewas, Pearly-Thinaah wajar diberikan pujian apabila berjuang mati-matian sepanjang perlawanan itu dengan memberikan tentangan sengit kepada pemain lawan yang berada di ranking keenam dunia.

“Di set kedua, selepas mata ke-11 kami ada buat beberapa kesilapan mudah kerana terlalu penat. Kejohanan ini sangat baik untuk kami tetapi belum puas hati lagi, mungkin perlu buat eksperimen dan kembali lebih kuat selepas ini.

“Pada penghujung permainan, Thinaah ada rasa nak muntah kerana kami bermain terlalu lama dalam beberapa perlawanan terakhir. Memang sangat penat, jadi kami perlu balik dan tingkatkan tahap kecergasan,” kata Pearly selepas tamat perlawanan.

Hasil keputusan itu, Pearly-Thinaah berpuas hati dengan hadiah wang tunai AS$15,960 (RM73,431) berserta trofi selaku naib juara manakala Ha Na-So Hee membawa pulang AS$33,180 (RM155,513) dan trofi.

Terdahulu, pencapaian terbaik Pearly-Thinaah musim ini sebelum Malaysia Masters adalah melayakkan diri ke separuh akhir dalam tiga kejohanan termasuk Terbuka India, Indonesia Masters dan Terbuka Jerman.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia muncul juara dalam acara beregu wanita di Malaysia Masters adalah menerusi gandingan Wong Pei Tty-Chin Eei Hui yang menewaskan beregu Singapura, Shinta Mulia Sari-Yao Lei pada 2012.

Selepas ini, Pearly-Thinaah memiliki masa lebih kurang seminggu untuk melakukan persiapan bagi menghadapi kejohanan Terbuka Singapura yang dijadualkan berlangsung pada 6 hingga 11 Jun depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI