fbpx

Pemandu pikap kebas durian RM2,500 akhirnya dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KENDERAAN pikap yang dirampas daripada suspek kerana dipercayai melarikan buah durian yang dijual oleh seorang penjual di gerai buah berhampiran bulatan Mardi di Kluang, Jumaat lalu.

KLUANG – Lelaki yang memperdayakan penjual durian di Jalan Kluang-Kota Tinggi berhampiran bulatan Mardi kelmarin berjaya ditahan di tepi jalan Taman Desa Baiduri, Kulai tengah malam tadi.

Ketua Polis daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, suspek berusia 40 tahun itu ditahan pada pukul 12.30 tengah malam bersama kenderaan pacuan empat roda berwarna putih. Turut  ditemui durian seberat 80 kilogram.

Katanya, suspek ditahan kerana dipercayai mempunyai ciri-ciri yang dilaporkan oleh pengadu dalam kejadian kira-kira pukul 5.20 petang.

“Mengikut keterangan pengadu, suspek datang ke gerainya sebelum membuat tawaran untuk membeli kesemua durian yang dijual.

“Selepas membuat rundingan dengan pemilik sebenar, jualan dipersetujui dan proses dilakukan bagi menimbang buah sebelum dimuat naik atas trak pikap suspek,” Katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Bahrin lagi, selepas semua proses hampir selesai dan jumlah jualan RM2,500 dinyatakan, suspek masuk dalam kenderaan dan meninggalkan pengadu tanpa membuat bayaran.

Tambahnya lagi, hasil semakan mendapati suspek mempunyai 10 rekod kesalahan lampau iaitu empat jenayah dan enam dadah.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan dan denda,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI