IPOH – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan memberi perhatian terhadap isu perlindungan hak cipta milik kerja pengamal media yang sering ‘dicuri’ pihak tidak bertanggungjawab.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, ruang dan peruntukan undang-undang sedia ada perlu diteliti bagi membolehkan tindakan diambil sekiranya berlaku pelanggaran hak cipta.
Malah katanya, kerajaan juga sedang mengadakan siri perbincangan dengan syarikat-syarikat penyedia platform media sosial berkaitan isu berkenaan.
“Kita juga berharap agensi dan persatuan-persatuan media di seluruh negara dapat mengadakan perbincangan serta mengusulkan solusi tepat dalam membantu kerajaan berhubung isu ini.
“Perlu ada perbincangan merentasi persatuan dan organisasi media dan mungkin boleh jadikan Hari Wartawan Nasional (Hawana) sebagai platform seperti mesyuarat agung tahunan untuk mengusulkan perkara tersebut.
“Selepas itu, usul tersebut boleh dibawa kepada pihak menteri dan kementerian atau agensi yang dijemput untuk kita sama-sama mencari penyelesaian,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Rumah Media Perak di Medan Istana di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, selain isu hak cipta berita, isu lain yang turut diberi perhatian adalah berkaitan caruman Pertubuhan Keselamatan Perkhidmatan Sosial (Perkeso). – KOSMO! ONLINE