fbpx

Kerajaan pertimbang kembalikan dana iklan kepada media

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fahmi bercakap pada sidang akhbar pada Majlis Sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023 di Ipoh, hari ini. - Foto ZULFACHRI ZULKIFLI

IPOH – Kerajaan mempertimbangkan untuk mengembalikan serba sedikit dana berkaitan perbelanjaan pengiklanan kepada media konvensional di negara ini bagi memastikan ia kekal relevan.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, selain dana itu, pertimbangan lain yang boleh diusahakan adalah dari segi aspek percukaian sebelum ia dibawa ke Jemaah Menteri apabila penelitian proses itu selesai.

Katanya, kedua-dua perkara itu sedang diteliti dengan lebih mendalam termasuk melalui beberapa kerangka awal yang sudah diterima pihaknya membabitkan mekanisme yang diguna pakai di negara-negara lain.

“Saya sudah maklumkan kepada Perdana Menteri bahawa hasil daripada sesi libat urus antara rakan-rakan media serta kementerian dalam beberapa urusan yang menyentuh isu ‘advertising expenditure’.

“Ia termasuk apa yang boleh diusahakan dari segi mungkin aspek sama ada percukaian atau usaha untuk mengembalikan serba sedikit dana berkaitan adex ataupun pengiklanan kembali kepada media di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023 yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hotel Casuarina @Meru, di sini hari ini.

Fahmi berkata, sebuah pasukan petugas dijangka dibentuk bagi proses libat urus yang lebih mendalam yang dijangka mengambil masa selama beberapa bulan bagi penelitian dan penyesuaian dengan keadaan di Malaysia,

Menurutnya, jika cadangan itu dapat manfaatkan dan usahakan, satu draf akan dibawa ke Pejabat Peguam Negara diikuti ke Jemaah Menteri.

Beliau berkata, itu mungkin satu cara dan ikhtiar yang dapat diusahakan bersama.

“Sebelum ini kita belum pernah berusaha bersama dengan rakan-rakan industri media untuk melihat satu aspek seperti yang saya sebutkan mengenai adex.

“Jadi saya harap rakan-rakan media selepas ini akan terus dapat memberikan idea, cadangan, pandangan dan kementerian akan berusaha mempercepatkan proses kerana ini antara perkara yang memang sangat diharap oleh rakan-rakan media,” katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata, pihaknya dalam fasa akhir menyiapkan draf Rang Undang-undang (RUU) bagi penubuhan Majlis Media Malaysia (MMC).

Katanya, ia akan dimajukan kepada Pejabat Peguam Negara untuk penelitian sebelum seterusnya diangkat ke Mesyuarat Jemaah Menteri.

“Selepas diterima dan diluluskan di Jemaah Menteri, ia akan dibentangkan di Parlimen dengan jangkaan ia akan dibentangkan seawal-awalnya pada Oktober depan atau selewat-lewatnya pada sidang pertama untuk tahun depan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI