fbpx

Kerajaan negeri bantu isu perebutan hak penjagaan anak Orang Asli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANGKAP layar seorang kanak-kanak menangis teresak-esak selepas terpaksa berpisah dari ibunya di Kuantan baru-baru ini.

KUANTAN – Kerajaan negeri akan membantu dan memastikan kebajikan seorang kanak-kanak perempuan Orang Asli yang terlibat dalam perebutan hak penjagaan antara kedua ibu bapanya yang telah bercerai.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kerajaan negeri bersimpati dengan nasib kanak-kanak ini dan memastikan ia tidak diabai dari sudut agama, pembelajaran dan kebajikan.

“Kerajaan negeri telah meminta pihak penasihat undang-undang negeri meneliti secara teperinci bidang kuasa yang ada dan bertepatan dengan undang-undang di mahkamah seandai boleh dibuat proses rayuan atau tuntutan dari pihak anak atau keluarga yang mensabitkan jika ada unsur-unsur penderaan.

“Ini bertujuaan membantu agar hak pihak yang teraniaya khususnya anak dapat dipelihara sebaik-baiknya,”katanya di sini hari ini.

Baru-baru ini tular rakaman video memaparkan seorang ibu dan anak berusia sembilan tahun terpaksa berpisah setelah Mahkamah Tinggi Kuantan memutuskan hak penjagaan kanak-kanak itu diserahkan kepada bapanya.

Rakaman berdurasi 49 saat itu menyaksikan kanak-kanak tersebut merangkul erat tubuh ibunya sambil menangis teresak-esak kerana terpaksa berpisah dengan ibunya.

Difahamkan pasangan Orang Asli berkenaan tidak lagi hidup bersama dan membawa haluan masing-masing dan ibu kanak-kanak berkenaan telah memeluk Islam.

Menurut Syed Ibrahim kerajaan negeri bersimpati terhadap nasib anak ini seandainya ada unsur-unsur penderaan daripada mana-mana pihak dan kerajaan negeri tidak akan berdiam diri.

Katanya, kerajaan negeri telah meminta Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Pahang (Jakoa) serta Unit Hal Ehwal Orang Asli, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) untuk meneliti dan berusaha bagi membantu perkara-perkara yang boleh dan dibenarkan mengikut undang-undang.

“Isu ini baru dalam pengetahuan pihak berwajib setelah mendapat proses mahkamah. Sebelum ini tiada sebarang aduan kepada kerajaan Negeri Pahang, mungkin mereka tinggal di luar Pahang dan tidak berurusan dengan mana-mana agensi kerajaan Negeri.

“Kita yakin perkara ini tidak menjadi sebarang kekusutan daripada mana-mana pihak dan hak anak ini dapat dibela sebaik-baiknya mengikut bidang kuasa mahkamah,”ujarnya.  – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI