fbpx

Jaafar Onn tak kisah digelar tua tak sedar diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JAAFAR ONN

KUALA LUMPUR- Usia yang kini mencecah 72 tahun bukanlah halangan kepada pelakon dan pengacara veteran, Jaafar Onn untuk aktif menggunakan media sosial termasuk TikTok.

Jaafar berkata, platform tersebut merupakan cara terbaharu bagi selebriti sepertinya untuk mendekati peminat terutama golongan muda.

“Saya beranikan diri untuk belajar dan buat apa yang orang seusia saya tak mahu buat. Sejujurnya saya tak kisah orang nak cakap apa. Mereka yang menghina dan mencaci itu tak masuk duit pun.

“Setiap kali saya buat siaran langsung di TikTok ada saja yang gelar macam-macam. Pondanlah, tak sedar dirilah, pakai gigi palsulah.

“Ada juga netizen yang suruh saya berehat saja, tapi siapa yang nak bagi kita duit nanti?” ujarnya selepas perasmian cawangan baharu Nasi Kukus Tonggek (NKT), di Lot 10, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah Jaafar, dia perlu mengikuti perkembangan semasa berkaitan sosial media supaya mampu bersaing dan kekal relevan dalam industri seni.

Berkongsi perkembangan kesihatannya, Jaafar yang dimasukkan ke hospital Mac lalu akibat keletihan melampau berkata, keadaannya sudah pulih sepenuhnya.

“Alhamdulillah sudah sihat, saya jatuh sakit kerana terlalu penat menjayakan pelbagai program Ramadan dan Aidilfitri.

“Sekarang sudah boleh bekerja seperti biasa. Syukur juga saya tiada penyakit lain seperti kencing manis atau darah tinggi, cuma sakit lutut orang tua biasalah,” ujarnya.

Selain itu, bercerita tentang kolaborasinya sebagai duta restoran Nasi Kukus Tonggek, Jaafar berkata, dia sentiasa terbuka untuk membantu dalam memajukan bisnes usahawan Melayu.

“Saya tidak terlalu berkira tentang bayaran yang mereka nak beri, apa yang penting saya nak bantu anak Melayu kita berjaya.

“Saya tak kejar wang ringgit, pada usia ini saya mahu menyumbang sesuatu kepada orang ramai,” ujarnya.

Sementara itu, pemilik Nasi Ayam Tonggek, Muhammad Nur Aiman Basuni meluahkan rasa syukur dapat meluaskan rangkaian restorannya ke lokasi tumpuan pelancong iaitu Bukit Bintang.

“Alhamdulillah selepas empat tahun impian saya untuk bukan cawangan di tempat tumpuan pelancong menjadi kenyataan.

“InsyaAllah impian seterusnya ingin meluaskan pasaran ke luar negara. Ini semua berkat usaha gigih dan bantuan daripada Papa Jaafar Onn,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI